Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Sekali pun skuad Tok Gajah turun sebagai pasukan bukan
pilihan pada malam ini, anak-anak buah Dollah Salleh diingatkan jangan
sama sekali mengaku kalah sebelum berjuang.
Serapkan semangat perjuangan tahun 1983 yang telah membawa Pahang muncul
juara buat kali pertama dalam sejarah kejohanan Piala Malaysia.
Itu pesanan orang lama Pahang, Datuk Jamal Nasir Ismail yang merupakan
ketua pasukan pada tahun 1983 selain turut menjadi pengurus pasukan pada
tahun 1992 yang menyaksikan Pahang muncul juara buat kali kedua.
Tambahnya, tiada apa yang mustahil bagi Pahang mencipta sejarah
menjuarai Piala Malaysia walaupun kemungkinan Kelantan dijangka tidak
berdepan sebarang masalah mempertahankan kejuaraan mereka sekali lagi
pada malam ini di Stadium Shah Alam.
Berdasarkan pengalamannya yang mengetuai pasukan Pahang pada tahun 1983,
tiada siapa yang memilih mereka untuk muncul juara ketika Selangor pada
masa itu cukup digeruni berdasarkan reputasi gah mereka yang telah
menang sebanyak dua kali berturut-turut pada tahun 1981 dan 1982.
Namun, tanpa diduga mereka mampu mengetepikan segala ramalan yang dibuat
sebelum awal perlawanan dan berjaya mencipta sejarah memenangi Piala
Malaysia setelah sembilan kali terkandas di saingan separuh akhir dan
beliau yakin skuad bimbingan Dollah Salleh kali ini mampu mengulangi
sejarah yang sama.
''Situasi yang Pahang lalui pada kali ini hampir sama seperti tahun
1983, di mana ramai tidak memperkatakan apa-apa mengenai pasukan Pahang
dan lebih cenderung memilih Selangor untuk menang.
''Bayangkan Selangor pada masa itu dibarisi pemain-pemain seperti
Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Santokh
Singh serta ramai pemain kebangsaan lain, mereka dilihat cukup kuat dan
tidak mungkin Pahang mampu menang.
''Walaupun begitu, kami membuktikan yang perkara itu tidak mustahil
untuk dicapai biarpun tanpa pemain berstatus bintang apabila kami
menundukkan mereka 3-2 pada masa tambahan," katanya yang ditemui Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Bukan mahu memandang rendah Kelantan tetapi Jamal menganggap Pahang
pasti lebih bersemangat mahu menang kerana kali terakhir mereka beraksi
di pentas akhir pada tahun 1997 sedangkan Kelantan baru sahaja memenangi
Piala Malaysia pada tahun lalu.
''Dalam soal ini, saya dapat rasakan Pahang lebih berkeinginan mahu
menang kerana jarak 21 tahun bukanlah satu tempoh yang sekejap dan
mereka sudah pasti mahu menang.
''Sedangkan buat Kelantan, saya rasa mereka mungkin tidak terlalu teruja
kerana telah menang dua kali dalam tempoh terdekat ini pada tahun 2010
dan 2012," katanya.
rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131103/su_02/Tok-Gajah-dapat-suntikan-ekstra#ixzz2jX6QeP2z
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan