NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
29 November 2013
Mahali Aksi Mahali ketika
menentang Indonesia baru-baru ini menerima pujian pelbagai pihak.
SIAPA sangka kerja keras
yang dilakukan oleh bekas pemain Selangor, Mahali Jasuli akhirnya membuahkan
hasil apabila beliau tersenarai dalam dua pencalonan untuk anugerah bola sepak
kebangsaan 2013 iaitu Pemain Pertahanan Terbaik dan Pemain Paling Bernilai (MVP).
Malahan, si empunya diri
juga hairan dengan pencalonan itu kerana berasakan persembahannya musim lepas
tidak memuaskan berbanding pemain lain.
Namun takdir Tuhan tak
siapa yang dapat menduga. Biarpun terkejut, namun bek kental Harimau Malaya itu
tetap teruja dengan pencalonan tersebut dan menganggap satu penghargaan
kepadanya sepanjang bergelar pemain.
Malah katanya, tersenarai
bersama nama-nama besar seperti Norshahrul Idlan Talaha (Johor Darul Ta'zim),
Norfarhan Muhammad (Kelantan), Mohd Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Shahril
Ishak, Baihakki Khaizan (Lions XII) dan Mohd Amri Yahyah (Selangor) dalam
kategori pemain paling bernilai nyata membuatkan beliau gementar.
“Susah nak gambarkan
perasaan saya ketika ini. Macam tak percaya pun ada juga tapi pada masa yang
sama, saya sangat bersyukur kerana tercalon. Tapi saya juga harus bersikap
realistik, mampukah saya menandingi mereka yang lebih hebat?
"Rasanya terpilih
berada dalam enam terbaik ini pun dah memadai. Ia satu pencapaian yang besar
buat diri saya. Mungkin, kata-kata ini kedengaran klise tapi itulah hakikatnya.
"Lagipun saya sendiri
tidak puas hati dengan pencapaian musim ini dan saya yakin pemain lain yang
lebih menyerlah daripada saya akan menang, yang pasti bukan saya,"
katanya.
Bukan saja tersenarai
sebagai calon enam terbaik pemain paling bernilai, malah Mahali yang bakal
menyarung jersi Harimau Selatan musim depan turut dicalonkan dalam kategori
pemain pertahanan terbaik.
Dalam kategori itu, Mahali
akan bersaing dengan lima pemain lain iaitu, Baihakki Khaizan (Lions XII),
Azizi Mat Rose (Kelantan), Razman Roslan (Pahang), Jalaluddin Jaafar (Pahang),
Amiridzwan Taj Tajudin (ATM).
"Saya sendiri tidak
menyangka dengan pencalonan ini. Pada mulanya saya tidak percaya kerana tiada
hitam putih mengenai pencalonan ini.
"Tapi seperti saya
katakan, pencalonan ini satu penghargaan dan saya mengucapkan terima kasih
kerana menilai persembahan saya selama ini.
"Dan jujur saya
katakan saya tidak menaruh harapan yang tinggi untuk menang kerana saya rasa
pemain lain lebih layak untuk menang. Tapi kalau saya menang itu satu bonus
untuk saya dan satu suntikan semangat untuk mengharungi Liga Malaysia musim
depan," katanya,
Difahamkan, satu panel
pemilihan terdiri daripada wakil MFCA, ahli dari Persatuan Penulis Sukan
Malaysia (SAM) dan pegawai FAM bermesyuarat memilih pemenang yang akan
berlangsung, esok.
RUJUKAN : SINAR HARIAN
ONLINE 29.11.13
Tiada ulasan:
Catat Ulasan