Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR -
Ke Kota Bharu atau Kuantan? Segala ramalan dan persoalan itu hanya akan
terjawab selepas berakhir Piala Malaysia edisi ke-87 pada malam ini di
Stadium Shah Alam antara dua pasukan dari pantai timur, Kelantan dan
Pahang.
Atas kertas,
sememangnya Kelantan wajar dilabelkan sebagai ‘favourite’ untuk
mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi tahun lalu.
The Red
Warriors mempunyai banyak kelebihan di segenap aspek, namun kekuatan
serta semangat dimiliki Pahang tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Berbekalkan
penampilan keempat dalam tempoh lima tahun, tiada siapa mampu
mengetepikan faktor pengalaman beraksi di pentas akhir pasti akan
menjadi aset terbaik Kelantan untuk muncul juara buat kali kedua
berturut-turut.
Dibarisi
beberapa pemain yang dianggap antara terbaik negara buat masa ini
seperti Mohd. Badhri Mohd Radzi, Mohd. Nor Farhan Muhammad dan Indra
Putra Mahayuddin, The Red Warriors dijangka mendominasi pergerakan
tengah berbanding Tok Gajah.
Penyerang
import, Dickson Nwakaeme juga pasti akan memberi kesukaran kepada
pertahanan Pahang ekoran mempunyai kekuatan fizikal yang tiada tolok
bandingnya dan dia pernah menjadi pemusnah Tok Gajah dalam saingan
peringkat kumpulan apabila meledak jaringan hatrik di Stadium Sultan
Muhammad IV, Kota Bharu untuk membantu kemenangan 4-0 dan ia tidak
mustahil berulang sekali lagi pada malam ini.
Kelantan juga
beruntung kerana mempunyai penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che
Mat untuk mengawal gawang dan seandainya kemungkinan perlawanan
ditentukan sehingga sepakan penalti, kelebihan dijangka berpihak kepada
skuad kendalian Bojan Hodak.
Cuma satu
sahaja kelemahan yang pasti menggusarkan Hodak, iaitu barisan
pertahanannya yang turun tanpa Obinna Nwaneri dan dia pasti menagih
khidmat Nik Shahrul Mohd. Azim yang akan digandingkan bersama Azizi Matt
Rose.
Mengintai
kekuatan skuad Tok Gajah, semangat anak-anak buah Dollah Salleh cukup
berkobar-kobar bagi menamatkan kemarau kejuaraan Piala Malaysia sejak
tahun 1992, apatah lagi mereka kempunan sebanyak tiga perlawanan
terakhir - 1994, 1995 serta 1997.
Pahang sudah
tentu mahu meneruskan rentetan kekecewaan berterusan buat kali keempat
dan kesempatan kembali beraksi di perlawanan akhir tidak boleh
dilepaskan begitu sahaja memandangkan kekuatan mereka sebenarnya tidak
terlalu jauh jika hendak dibandingkan dengan Kelantan.
Dipacu oleh
kelajuan di bahagian sayap yang dikemudi oleh dua ‘R’ iaitu R.
Gopinathan dan R. Surendran, corak permainan serangan balas pasti akan
menjadi senjata paling ampuh bagi meleburkan keegoan The Red Warriors.
Ditambah
ketajaman penyerang dari Argentina, Matias Conti dan aksi yang tidak
kenal putus asa oleh Azamuddin Akil atau lebih dikenali dengan nama
panggilan Alex, Pahang ada ramuan tersendiri untuk menjinakkan Kelantan.
Biarpun masih
mentah di peringkat tertinggi, aksi penjaga gol ketiga, Mohd. Khairul
Azhan Mohd. Khalid boleh dipuji dan dia dijangka menjadi aset terpenting
kepada Pahang esok bagi menangani serangan bertali arus lawan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan