Jumaat, 29 November 2013

Tak mahu ambil risiko

Oleh Aziman Rosdi

Foto
Kuala Lumpur: Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee tidak mahu terburu-buru dalam menguji barisan kesebelasan terbaiknya apatah lagi menyedari pasukannya bakal diintip pencabar dari negara jiran Singapura apabila mereka turun beraksi pada perlawanan persahabatan menentang Johor Darul Takzim II (DT II) di Stadium Pasir Gudang malam ini.

Beliau yang baru dilantik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai jurulatih sementara Harimau Malaya berkata, beberapa pemain utama termasuk kapten Irfan Fazail, Zubir Azmi dan D Sarvindran yang mengalami kecederaan kecil akan direhatkan dalam perlawanan dengan kelab Liga Perdana itu bagi persiapan ke Sukan SEA Myanmar awal bulan depan.



“Saya tidak mahu mengambil risiko menurunkan pemain yang masih belum pulih sepenuhnya dan ini peluang untuk saya menguji beberapa kombinasi baru. Saya juga tahu Singapura akan datang menyaksikan perlawanan esok (hari ini) jadi saya fikir tidak perlulah kita mendedahkan kekuatan sebenar kita,” katanya.

Tambahnya, beliau masih mempunyai masa untuk menguji barisan terbaiknya apabila skuad B-23 bakal berdepan perlawanan pemanas badan terakhir dengan kelab Jepun FC Ryukyu pada 4 Disember ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Foto
KIM Swee (tengah) memerhatikan pemain melakukan latihan di Johor Bahru, semalam.


“Kecederaan pemain boleh berlaku pada bila-bila masa cuma saya menasihati pemain agar lebih berhati-hati dan saya akan menurunkan kesebelasan terbaik ketika menentang FC Ryukyu dalam tempoh 60 hingga 70 minit permainan,” jelas Kim Swee.


Krisis kecederaan pemain terus menghimpit skuad muda negara itu apabila mereka kehilangan beberapa pemain utama iaitu Wan Zack Haikal Wan Noor, Fandi Othman, Gary Steven Robbat, Syahrul Azwari Ibrahim dan terbaru Junior Eldstal dan Nik Shahrul Azim Abd Halim.

Bukan itu saja, Kim Swee perlu mencari jalan untuk memantapkan pasukannya yang sudah tidak dapat menggunakan pemain yang mempunyai karektor hebat kerana faktor umur seperti Khairul Fahmi Che Mat, Baddrol Bakhtiar, Mahali Jasuli dan Asraruddin Putra Omar ketika memenangi pingat emas Sukan SEA Indonesia pada 2011.

“Saya kehilangan ramai pemain kerana masalah kecederaan tapi saya yakin pemain yang ada masih boleh menggalas tugas dengan baik. Saya akui ini cabaran lebih hebat berbanding di Jakarta kerana dulu saya mempunyai mempunyai pemain berpengalaman seperti Apek (Khairul Fahmi), Baddrol dan Mahali. Saya berharap pemain yang akan diberi peluang bersedia untuk memikul cabaran ini,” katanya.

Ia juga pasti cabaran berbeza Kim Swee di Myanmar kali ini apabila ramai pihak mahu melihat sejauh mana kemampuannya menyempurnakan misi hatrik emas Sukan SEA selepas beliau dilantik menggantikan ketua jurulatih Harimau Malaya Datuk K Rajagobal yang tamat kontrak pada 31 Disember ini.

“Tekanan akan sentiasa ada apatah lagi dengan pelantikan sebagai jurulatih sementara ini tapi bagi saya apa yang penting adalah mempersiapkan pasukan ini sebelum ke Sukan SEA,” katanya.

Pada Sukan SEA kali ini, Malaysia diundi dalam kumpulan A bersama-sama Vietnam, Singapura, Laos dan Brunei.
 Rujukan:
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/29

Tiada ulasan:

Catat Ulasan