NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
29 November 2013
Saya sudah malas layan:
Nazri Nazri (kiri) enggan mengulas lanjut perpindahannya ke Kelantan.
BEKAS pemain Johor Darul
Ta'zim (JDT), Muhamad Nazri Ahmad seolah-olah sudah malas melayan karenah
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang tidak henti-henti menuduhnya membuat
pusingan U dengan menyertai Kelantan meskipun pada mulanya didakwa telah
menandatangani perjanjian untuk menyertai pasukan Selangor dalam saingan Liga
Malaysia (Liga-M) musim depan.
Nazri ketika dihubungi
berkata, sebaiknya dia mengambil pendekatan berdiam diri dari terus
mengeluarkan kenyataan kerana ia akan
lebih memburukkan keadaan.
"Cukuplah dengan apa
saya cakap sebelum ini. Buat masa ini saya dah malas nak komen panjang kerana
orang yang boleh bercakap hanyalah Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan
(Kafa), Tan Sri Annuar Musa. Lagipun kalau saya cakap lebih...lain pula
jadinya, jadi lebih baik saya diam dan menyerahkan segala urusan kepada Annuar.
"Insya-ALLAH masalah
ini akan selesai dalam beberapa hari lagi memandangkan saya akan turun
menjalani latihan di Kota Bharu 1 Disember nanti. Jadi bila isu ini selesai dan
Annuar bagi saya lampu hijau untuk beri kenyataan saya akan cakap,"
katanya kepada Sinar Harian semalam.
Kontroversi membabitkan
Nazri dengan FAS semakin parah apabila
persatuan itu bertindak membawa kes tersebut ke Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) untuk tindakan selanjutnya.
Biarpun mendapatkan
‘permintaan’ untuk menyelesaikannya di luar ‘mahkamah’ FAM tetapi FAS kekal
pendirian untuk membawa kes pemain itu ke muka pengadilan.
Timbalan Presiden FAS,
Datuk Mokhtar Ahmad berkata, mereka tidak mahu dilabel sebagai persatuan mudah
tunduk mengalah selepas berlaku perkara sama ketika ingin membawa pulang Safee
Sali.
Mokhtar berkata, ia
perbuatan tidak bermoral apabila seorang pemain sudah menandatangani kontrak
tetapi membuat Pusingan Umenyertai pasukan lain.
“Saya menghormati
pandangan (Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM) Datuk Takiyuddin Hassan
yang memberi saranan supaya menyelesaikan kes ini dengan berhemah tetapi pemain
seperti ini perlu diberi pengajaran agar tidak
memandang ringan berhubung isu kontrak.
“FAS tetap akan bawa kes
ini ke FAM demi keadilan untuk pihak kami, saya menyeru FAM agar melaksanakan
atau menggubal peraturan perpindahan lebih ketat bagi mengelakkan perkara ini
tidak berulang pada masa akan datang.
“Kalau begini sikap
pemain, mudah buat mana-mana pasukan beli pemain. Sikap inilah harus kita kikis
dan saya berharap FAM dapat melakukan sesuatu untuk menghalang pemain-pemain
yang telah menandatangani kontrak, berhijrah ke pasukan lain,” katanya.
Nazri mencetuskan
kontroversi apabila didakwa melanggar kontrak FAS.
RUJUKAN : SINAR HARIAN
ONLINE 29.11.13
Tiada ulasan:
Catat Ulasan