NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
28 November 2013
Tiga serangkai bakal
menyengat Annuar (duduk, dua kiri) bersama sebahagian pemain baharu yang bakal
membawa cabaran TRW musim depan. - Foto Sinar Harian Zulfadhli Zaki
GANDINGAN tiga pemain
import, Mohamed Ghaddar, Mohamed Shawky dan Francis Forkey Doe bukan saja bakal
menguatkan pasukan The Red Warriors (TRW) musim depan, malah mampu membantu
pasukan itu mengekalkan reputasi sebagai pasukan bola sepak terbaik negara.
Bekas jurulatih Kelantan,
Datuk M Karathu mengibaratkan kehadiran tiga pemain import itu sebagai bonus
kepada TRW. Karathu berkata, dengan
gandingan tiga pemain itu juga tidak mustahil Gergasi Pantai Timur itu mampu
bangkit sebagai sebuah pasukan yang kuat dan mantap.
"Sebenarnya saya
masih belum lihat senarai penuh pemain Kelantan musim depan, tapi kalau dari
segi penyerang saya lihat satu gandingan yang bagus. Malah gandingan dua pemain
Arab dengan Liberia, saya yakin satu bahagian yang akan menyengat.
"Begitu pun, harus
diingat dalam pasukan kita tidak boleh bergantung kepada bahagian serangan
semata-mata, bahagian pertahanan dan tengah juga perlu untuk memastikan
semuanya berjalan dengan lancar.
"Tapi saya yakin
pemain muka baharu mampu mengisi kekosongan posisi yang ditinggalkan tonggak
utama yang berhijrah malah gandingan pemain muda dan berpengalaman pasti
menambah sengat pasukan musim depan," katanya kepada Sinar Harian,
semalam.
Kelmarin, skuad bola sepak
Kelantan mengumumkan secara rasmi senarai pemain yang akan menyarung jersi
pasukan itu bagi membawa cabaran pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan Piala
AFC 2014.
Mendahului senarai pemain
baharu TRW 2014 adalah tiga tonggak import terdiri daripada pemenang Kasut Emas
Liga Super 2012, Forkey Doe, penyerang Lubnan yang membantu Kelantan menjulang
treble pada 2012, Mohamed Ghaddar dengan meledak 21 gol dan bekas pemain
kebangsaan Mesir, Mohamed Shawky yang berjaya memenangi tempat ketiga Kejohanan
Kelab Dunia 2006.
Juara Piala FA 2013 itu
juga membawa pemain kelahiran Australia, Brendan Gan yang mempunyai bapa warga
Malaysia tetapi akan cuba didaftarkan sebagai pemain tempatan.
Sayap Harimau Muda A, Wan
Zaharulnizam Wan Zakaria dan pemain tengah Malaysia, Amar Rohidan turut menyarung
jersi TRW.
"Buat masa ini masih
terlalu awal untuk saya menilai barisan pemain baharu yang diperkenalkan oleh
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa. Ini keran saya perlu lihat terlebih dahulu
aksi mereka dan paling kurang dalam dua atau tiga perlawanan. Selepas itu baru
saya boleh nilai sejauh mana barisan baru TRW musim depan.
“Apa pun, saya percaya
Kafa sudah membuat penelitian terperinci sebelum mengambil pemain. Jadi saya
berharap pasukan baharu yang dibentuk ini akan cepat mendapat keserasian
sebelum saingan bermula,” katanya.
Menurut Karathu, Kelantan
juga masih mampu meraih kejayaan dengan kekalnya Mohd Badhri Radzi atau Piya
yang menjadi perancang utama.
RUJUKAN : SINAR HARIAN
ONLINE 29.11.13
Tiada ulasan:
Catat Ulasan