PENGENDALI Singapura, V. Sundramoorthy mendakwa keadaan padang yang
dipenuhi air sebagai punca kekalahan 0-1 kepada Harimau Muda pada
Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Pahang semalam.
Sebelum perlawanan bermula, hujan lebat turun di Kuantan dan menyebabkan padang itu ditakungi air.
Sundramoorthy berkata, keadaan padang yang dipenuhi air itu telah
'merosakkan' tempo permainan pasukan kendaliannya sehingga mereka tidak
mampu bergerak serta menyepak bola dengan sempurna.
"Saya berharap pada aksi kedua nanti keadaan cuaca dan padang memihak
kepada kami. Saya percaya para pemain saya akan bangkit selepas ini.
"Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan persembahan semua pemain dalam
perlawanan sebentar tadi (semalam) walaupun kami datang ke Kuantan tanpa
enam atau tujuh pemain utama," kata Sundramoorthy.
Pengendali berusia 47 tahun itu berkata, walaupun kebanyakan pemain yang
dibawa ke sini adalah pemain-pemain kurang berpengalaman, beliau memuji
keserasian dan komitmen tinggi yang ditunjukkan dalam aksi bertemu
Harimau Muda itu.
Beliau turut mengakui sangat terasa ketiadaan penyerang utama, Hariss
Harun dan penjaga gol, Izwan Mahbud yang tidak disenaraikan pada
kejohanan kali ini kerana komitmen bersama skuad senior.
"Saya akui Hariss dan Izwan mempunyai pengaruh besar dalam skuad ini.
Kehadiran mereka dalam pasukan bakal menambah keyakinan seluruh pemain
namun saya tidak kecewa kerana saya percaya dengan barisan yang saya
miliki ketika ini.
"Saya juga mahu mereka (pemain) melupakan kekalahan ini seterusnya
memberi tumpuan kepada dua aksi berikutnya dan tidak mustahil kita
(Singapura-Malaysia) akan bertemu di final," katanya.
Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo.8.9.2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan