Khamis, 12 September 2013

Dilema pemain The Red Warriors

Dilema pemain The Red Warriors

  • SUBKHI SUDARJI & RUWAIDA MD ZAIN
    11 September 2013
  • Dilema pemain The Red WarriorsNorfarhan dan Indra Putra
BENARKAH beberapa pemain utama dalam pasukan The Red Warriors (TRW) bakal berhijrah menyarung jersi pasukan lain untuk musim 2014? Andai benar, bolehkah penyokong setia Pahlawan Merah merestui tindakan wira mereka yang menobatkan Kelantan selaku Juara Treble 2012.

Tawaran gaji lebih lumayan, kurang diturunkan sebagai kesebelasan utama, faktor usia dan ingin berada dekat dengan keluarga antara perkara utama mendorong pemain membuat keputusan berhijrah atau sebaliknya.

Difahamkan, pemain utama yang dikhabarkan bakal membawa diri beraksi di posisi pertahanan dan tengah sebelum ini banyak berjasa kepada kecemerlangan pasukan.

Tindakan ini terpaksa diambil pemain berkenaan kerana kemasukan beberapa pemain baru yang lebih muda selain mendapat tawaran gaji seperti sedia kala.

Felda United, Johor Darul Takzim (JDT) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikhabarkan sedang merisik beberapa pemain TRW untuk memperkuatkan barisan mereka bagi saingan musim depan, malah ada juga telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU).

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Mohd Khairi Yazid berkata, peminat Kelantan pastinya berfikiran matang dan rasional sekiranya pemain yang ingin berhijrah menggunakan saluran yang betul.

"Tiada masalah seandainya pemain ingin bersama pasukan lain, mereka mempunyai hak, itu masa depan mereka tetapi kita mahu mereka menggunakan saluran yang betul, jadikan kes lalu sebagai pengajaran.

"Selaku penyokong kita akan tetap menghargai segala jasa dan pengorbanan ketika bersama TRW dan tiada istilah untuk menyisih serta memperlekeh aksi mereka bersama pasukan baru," katanya.

Bagaimanapun Khairi mengharapkan agar Persatuan Bola Sepak Kelatan (Kafa) mengekalkan pemain utama selain memilih muka baru yang berkualiti mengisi kekosongan.

"Lumrah dalam dunia bola sepak, ada yang masuk dan keluar namun kita mengharapkan Kafa membawa masuk pemain baru berkualiti untuk menampung kekosongan kerana kami percaya Kafa mempunyai pendekatan tersendiri memilih pemain berwibawa serta mampu menjalankan tugas yang diberikan," katanya.

Sebelum ini, isu perpindahan pemain utama TRW terus menjadi bualan di kalangan peminat bola sepak tempatan dalam laman Facebook, malah status daripada pemain TRW yang berkongsi mengenai nasib pemain bola sepak turut dipaparkan.

Pemain tersebut yang hanya ingin mendapatkan pandangan mengenai nasib pemain bola sepak pastinya akan dijulang bila beraksi dengan baik, namun sebaliknya bila persembahan merosot.
Sumber: Sinar Harian online 12.9.13

Tiada ulasan:

Catat Ulasan