Jumaat, 6 September 2013

KAFA tidak akan merayu

Oleh YATIMIN ABDULLAH
ZAMRI (tengah) digantung dua tahun selepas didapati positif mengambil bahan terlarang pada final Piala FA, 29 Jun lalu.


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak akan mengemukan sebarang rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas pemain pertahanan The Red Warriors, Zamri Ramli yang digantung dua tahun.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya tidak akan mengemukakan rayuan selepas pemain itu didapati positif mengambil bahan terlarang iaitu dadah jenis metamphetamine ketika ujian doping dilakukan selepas aksi final Piala FA 29 Jun lalu.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat setelah pihaknya berpuas hati dengan keputusan ujian doping yang mengesahkan pemain tersebut mengambil bahan terlarang itu.
"Sekiranya dia (Zamri) bercadang hendak buat rayuan, itu terpulang kepadanya.
"Saya berpuas hati dengan keputusan kedua-dua ujian tersebut. Tiada keraguan mengenainya. Apabila didapati bersalah, dia perlu menerima hukuman penggantungan dua tahun itu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Zamri digantung dua tahun daripada kegiatan bola sepak selepas sampel air kencingnya yang diambil pada perlawanan akhir Piala FA, 29 Jun lalu, didapati positif mengandungi bahan terlarang, metamphetamine oleh sebuah makmal di India.
Dia bernasib baik kerana tidak dikenakan hukuman maksimum digantung seumur hidup atau minimumnya, enam bulan yang tidak boleh dirayu biarpun Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Taufik Razak menegaskan penyalahgunaan dadah merupakan satu kes yang serius.
Annuar memberitahu, ekoran keputusan penggantungan itu, kontrak pemain berusia 23 tahun dengan pihak KAFA secara automatiknya terbatal.
Katanya, KAFA tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pemain yang didapati mencemarkan nama baik pasukan The Red Warriors termasuk terlibat di dalam penyalahgunaan dadah.
"Nasihat saya kepada pemain lain, jangan cuba ulanginya, kerana ini merupakan kesalahan cukup besar.
"Tempoh tersebut cukup panjang, sukar untuk pemain mengembalikan prestasi mereka setelah lama tidak terbabit dalam bola sepak," ujarnya.
Rujukan:Kosmo online 6.9.2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan