Harimau Muda ke final
Oleh NOR AZIRAN YUNUS aziran.yunus@kosmo.com.my
SKUAD Harimau Muda menempah tiket ke final Pestabola Merdeka 2013
selepas berjaya menjinakkan Myanmar 2-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan
malam tadi.
Kemenangan kedua berturut-turut itu membolehkan Harimau Muda mendahului
saingan dengan enam mata maksimum selepas menang 1-0 ke atas Singapura
dalam aksi pertama Sabtu lalu.
Beraksi di atas padang kering malam tadi, Harimau Muda menampilkan
permainan lebih tersusun berbanding ketika menentang Singapura.
Seawal minit ketiga, pemain sayap Harimau Muda, Wan Zack Haikal Wan Nor
membuat larian pantas bagi membelah benteng pertahanan Myanmar, namun
rembatan pemain kelab Ryukyu FC itu tepat ke dakapan penjaga gol
Myanmar, Pyaye Phyo Aung.
Tujuh minit kemudian, perancang Myanmar, Kyi Lin pula mendapat peluang
di hadapan pintu gol Harimau Muda, namun percubaannya sedikit tersasar.
Myanmar mendapat peluang menerusi sepakan percuma di sebelah kanan pintu
gol Malaysia pada minit ke-15, namun penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi
sudah dapat membaca sepakan kapten Myanmar, Kyaw Zayar Win.
Peluang terbaik Harimau Muda sekali lagi hadir menerusi Wan Zack pada
minit ke-20, namun sepakan percumanya sekadar menggegar palang Myanmar.
Stadium bergema apabila pemain tengah Harimau Muda, Putera Nadher
Amarhan atau Junior Eldstal berjaya menanduk masuk gol hasil satu
sepakan penjuru pada minit ke-26.
Namun jaringan itu dibatalkan oleh pengadil dari Singapura, Abd. Malik
Abd. Bashir kerana dia belum mengarahkan sepakan dilakukan.
Memasuki minit ke-38 berpunca daripada sepakan penjuru, tonggak Myanmar,
Nay Lin Tun berjaya menanduk masuk gol pembukaan perlawanan .
Gol yang dicari-cari Harimau Muda akhirnya tercipta pada minit ke-64
apabila kapten, Mohd. Irfan Fazail bijak menyudahkan hantaran Putera
hasil sepakan percuma yang diambil Wan Zack.
Wan Zack mengesahkan kemenangan Harimau Muda menerusi sepakan percuma yang cukup menarik pada minit ke-78.
Bagi pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee, beliau sudah menjangkakan
kesukaran dalam perlawanan menentang lawan kental seperti Myanmar.
"Semasa rehat separuh masa, saya meminta para pemain melupakan aksi separuh masa pertama dan bangkit.
"Berkat usaha keras serta tidak mengenal erti kecewa akhirnya kami mampu
membuat kebangkitan seterusnya menewaskan Myanmar 2-1," katanya.
kOSMO ONLINE 10.9.13
Tiada ulasan:
Catat Ulasan