Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMINdayne.ghazali@utusan.com.my
Pasukan Malaysia menjalani latihan di padang Akademi Bola Sepak Malaysia dekat Gambang, semalam sebagai persiapan menentang Myanmar pada aksi kedua Pestabola Merdeka di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini. - utusan/AHMAD ZAKKI JILAN
KUANTAN - Selepas membaham Singa, Harimau Muda semakin garang mahu menjadikan Myanmar sebagai mangsa seterusnya dalam saingan Pestabola Merdeka 2013 malam ini.
Biarpun kesan kekalahan pada pusingan kelayakan Piala AFC Bawah 22, tahun lalu di tangan Myanmar masih terbayang oleh para pemain, Ong Kim Swee tidak mahu dendam dijadikan sebagai motivasi mencari kemenangan sambil menyifatkan pasukan Myanmar yang tiba di kejohanan ini bukanlah sebuah pasukan yang asing pada pandangannya.
Menyenaraikan Kyi Lin, Kyaw Ko Ko dan ketua pasukan, Kyaw Zayar Win sebagai tiga pemain Myanmar yang perlu diberi perhatian, dia mengetahui segala kekuatan dan kelemahan pasukan yang dilabel White Angels.
"Seperti mana kejohanan lalu (kelayakan Piala AFC Bawah 22), majoriti pemain mereka masih sama dan berdasarkan apa yang saya lihat semasa berdepan Thailand, pasukan ini cukup laju dalam melakukan serangan.
"Saya tidak percaya pada dendam kerana jika kita fikirkan mengenai dendam, itu akan memberikan satu perasaan yang tidak elok kepada kami. Apa yang penting kami telah mempelajari sesuatu daripada kekalahan dulu untuk menewaskan Myanmar selepas ini.
"Myanmar merupakan sebuah skuad yang sentiasa menggunakan pemain-pemain yang sama untuk perlawanan antarabangsa dan mereka dilihat semakin bertambah baik.
"Pemain nombor tujuh iaitu ketua pasukan (Zayar Win) merupakan perancang utama, pemain nombor lapan (Kyi Lin) cukup pantas dan mempunyai skil menggelecek yang hebat dan pemain nombor sepuluh (Kyaw Ko Ko) sering kali mampu memberikan banyak masalah kepada pertahanan lawan," katanya pada sidang akhbar pengurus pasukan di sini, semalam.
Pada 3 Julai lalu, Myanmar yang layak ke pusingan akhir Piala AFC Bawah 22 dengan cara kontroversi kerana menggunakan pemain yang lebih umur berjaya menundukkan Malaysia 2-1 di Yangon sekali gus meranapkan impian negara yang sekadar berada di tempat ketiga Kumpulan G di belakang Korea Selatan dan Myanmar.
Tiga lagi mata akan membawa Malaysia semakin pasti ke perlawanan akhir pada 14 September dan itu yang mahu dicari oleh Kim Swee apabila melakukan perhitungan penting berdepan Myanmar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan