Jangan tipu peminat bola sepak
Oleh WAN HASNAN WAN HASANhasnan.hasan@kosmo.com.m PENGESAHAN daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis lalu bahawa mereka ada menerima maklumat mengenai kegiatan menjual perlawanan dalam saingan bola sepak Piala Malaysia 2013 yang sedang hangat berlangsung ketika ini sedikit-sebanyak telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat sukan paling popular di tanah air itu.
Walaupun kegiatan tersebut masih belum terbukti, ia sudah cukup untuk membuat para peminat berasa curiga terhadap para pemain lebih-lebih lagi jika pasukan kesayangan mereka tumpas kepada pasukan-pasukan yang tidak sepatutnya.
Timbul pelbagai persoalan di benak fikiran mereka. Benarkah rasuah kembali menular dalam kancah bola sepak tempatan? Mengapa pemain sanggup melakukan perbuatan itu? Bagaimana pemain boleh berurusan dengan bookie-bookie? Adakah kegiatan rasuah itu turut melibatkan para pegawai?
Pastinya, apa pun persoalan yang timbul, semua itu telah mewujudkan satu senario yang kurang menarik kepada arena bola sepak negara yang sebelum ini pernah dikejutkan dengan detik hitam apabila sebahagian besar pemain Liga Malaysia (Liga M) terpaksa digantung kerana terlibat dalam pengambilan rasuah pada tahun 90-an.
Walaupun jauh di sudut hati saya masih mengharapkan amalan rasuah yang digusarkan oleh sebahagian besar peminat bola sepak tempatan ketika ini hanya sebagai satu 'tohmahan' daripada pihak-pihak tertentu, kadang-kadang kita terfikir juga 'kalau tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang'.
Jika perkara ini benar, ia akan menjadi satu detik yang amat menyedihkan kerana semua peminat bola sepak yang selama ini sanggup menghabiskan wang, masa, ada yang tercedera ketika bertandang ke stadium kerana insiden-insiden tidak terduga dan kadang-kadang bagi mereka yang fanatik mungkin sanggup bertegang urat semata-mata untuk mempertahankan pasukan kesayangan mereka bagai ditipu 'hidup-hidup' oleh 'pelakon-pelakon' di atas padang.
Kadang-kadang terfikir juga, apa lagi yang pemain inginkan sehingga sanggup menerima rasuah.
Setahu saya, gaji yang diterima oleh sebahagian besar pemain yang bermain di Liga Super atau Liga Premier sangat besar dengan sesetengahnya menerima gaji mengalahkan gaji yang diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif di sesetengah syarikat.
Mungkin kerana sikap tamak haloba, habuan-habuan lumayan yang diberi oleh para bookie menjadikan pemain-pemain ini buta dalam mengejar kekayaan walaupun dengan cara yang salah.
Pemain-pemain ini sanggup membiarkan diri mereka menjadi 'kuda tunggangan' kepada para pengatur perlawanan demi memastikan impian mereka untuk mendapat habuan yang lumayan tercapai.
Pada masa sama, mereka sanggup menipu para peminat untuk menyaksikan 'lakonan' mereka di atas padang.
Bagaimanapun, kesannya sangat besar kerana perbuatan para pemain terbabit telah merosakkan nilai kepercayaan para peminat bola sepak yang selama ini memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada pasukan kesayangan masing-masing serta menghancurkan sukan bola sepak itu sendiri.
Untuk para pemain terbabit, percayalah, harta menimbun yang diperoleh itu bukanlah satu jaminan untuk kita terus hidup dalam dunia ini, satu hari kita pasti akan pergi jua dan harta-harta itu akan ditinggalkan.
Lebih sedih nama kita akan diingati bukan sebagai seorang hero tetapi sebagai petualang dan ia akan melekat serta menjadi bahan rujukan hitam untuk generasi akan datang dan mungkin sampai bila-bila.
Seharusnya, pihak berwajib terutamanya Persatuan Bola Sepak Malaysia, persatuan bola sepak negeri dan SPRM perlu melihat gejala rasuah dalam bola sepak ini secara serius dan langkah-langkah tegas perlu segera diambil bagi membendung kegiatan haram ini daripada terus berleluasa.
Satu langkah yang konkrit perlu dilakukan untuk memastikan amalan haram ini dapat dicegah atau mereka yang terlibat diseret ke muka pengadilan dengan segera.
Jika kita biarkan amalan ini berterusan, mutu bola sepak negara bukan sahaja akan berada di takuk lama, malah mungkin akan menjadi lebih teruk dan Malaysia tidak mungkin akan menjadi kuasa besar dalam acara sukan paling popular di dunia itu.
Bagaimana kita mahu menjadi kuasa besar dalam bola sepak jika dalam setiap pasukan ada pemain-pemain yang bersifat 'api dalam sekam' seperti ini.
Moral pemain-pemain yang jujur dan benar-benar bermain untuk kejayaan pasukan pula pastinya akan terjejas kerana rakan mereka di dalam pasukan yang sama bertindak 'menikam mereka dari belakang'.
Sehubungan itu, semua pihak perlulah bersatu untuk menangani masalah ini dengan tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa jika mereka mengetahui sebarang maklumat mengenai aktiviti menjual perlawanan.
Pihak berkuasa pula perlulah bersungguh-sungguh untuk menghapuskan gejala ini dalam sukan bola sepak negara.
Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0901&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz2dbNhPYcO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan