Sabtu, 24 Ogos 2013

PESTABOLA MERDEKA

Elak fokus Harimau Muda terjejas

Oleh HAFIZ ABBAS mohdhafiz.abbas@kosmo.com.my

SKUAD Harimau Muda bergambar kenangan pada majlis pelancaran rasmi Pesta Bola Merdeka 2013 di Kuantan, Pahang semalam.


PENGENDALI Harimau Muda A, Ong Kim Swee ada sebab dan alasan tersendiri meminta pasukan negeri atau kelab supaya tidak mengganggu barisan pemainnya dengan menawarkan kontrak sebelum Sukan SEA 2013 di Myanmar penghujung tahun ini.
Menurut Kim Swee, ia bagi mengelakkan konsentrasi para pemainnya terjejas akibat terlalu memikirkan hal itu sehingga melebihi perjuangan buat negara.
“Ia satu perkara biasa jika ada pemain ditawarkan kontrak dan mendapat ganjaran yang lebih baik.
“Setakat ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah berbincang mengenai isu ini dan (akan) menyelesaikan kontrak pemain skuad Harimau Muda A, B dan C.
“Lagipun pemain daripada skuad Harimau Muda mendapat kelonggaran dan boleh didaftarkan bila-bila masa,” kata Kim Swee.
Kim Swee berkata demikian pada sidang akhbar pelancaran Pesta Bola Merdeka ke-41 di Kuantan, Pahang semalam yang dirasmikan Timbalan Presiden FAM, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Pada kejohanan yang julung kali diadakan di luar Kuala Lumpur itu, Malaysia akan diwakili Harimau Muda A dan bakal beraksi bersama tiga lagi skuad Bawah 23 tahun - Singapura, Thailand dan Myanmar.
Ditanya kemasukan tujuh pemain bagi memperkuatkan skuad Harimau Muda A menghadapi Pesta Bola Merdeka kali ini, Kim Swee melahirkan rasa gembira dengan situasi terkini itu.
Pada masa sama, beliau mengharapkan kesemua pemain terbabit cergas sepenuhnya memandangkan mereka juga pertama kali dapat disatukan dalam satu pasukan.
Tujuh pemain terbabit ialah Fadhli (Harimau Muda A), Wan Zack Haikal Wan Noor (Ryukyu FC), K. Reuben (Angkatan Tentera Malaysia), Mohamad Nazmi Faiz Mansor (Selangor PKNS), Mohd. Zubir Azmi, Nik Shahrul Azim Abd. Halim (Kelantan) dan Junior Eldstal (Sarawak).
Sebelum ini, Kim Swee berdepan dengan masalah kecederaan melibatkan enam pemain iaitu Gray Steven Robbat, Izzaq Faris Ramlan, Fandi, Amer Saidin, Syahid Zainon dan Nurridzuan Abu Hassan yang tidak dapat beraksi pada Pesta Bola Merdeka kali ini.
“Walaupun pemain terbabit mengalami kecederaan panjang tetapi mereka masih berada pada landasan baik dan dijangka boleh pulih sebelum Sukan SEA di Myanmar nanti,” jelas Kim Swee.
Ditanya mengenai peluang skuad kendaliannya memburu kejuaraan pada Pesta Bola Merdeka kali ini, Kim Swee menjelaskan, ketiga-tiga lawan mereka masih dianggap pencabar kuat.
“Ini dapat dilihat dengan persediaan baik oleh Singapura, Thailand dan Myanmar yang menjadikan kejohanan ini sebagai platform untuk menghadapi Sukan SEA nanti,”katanya.
Kali terakhir Pesta Bola Merdeka diadakan ialah pada 2008 dan Vietnam muncul juara menewaskan Malaysia yang ketika itu dibimbing B. Sathianathan menerusi sepakan penalti 6-5.
SUMBER RUJUKAN: http://www.kosmo.com.my 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan