'Ben 10' idam 11 terbaik
Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
Kota Bharu: Penyerang Kelantan, Mohd Norfarhan Muhammad mengidam untuk berada dalam kesebelasan utama ketika melayani kunjungan Terengganu dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Pada perlawanan menentang Pahang, Selasa lalu, Mohd Norfarhan atau lebih dikenali sebagai 'Ben 10' hanya diturunkan sebagai pemain simpanan namun tidak dinafikan pemain yang berasal dari Kuala Terengganu itu mempunyai kemampuan merobek gawang lawan.
Norfarhan berkata, selepas gagal mendapat mata penuh di Kuantan, Selasa lalu, The Red Warriors (TRW) perlu bangkit dan beraksi garang di gelanggang sendiri supaya tidak memberi ruang kepada lawan untuk menyerang.
Katanya, berikutan Ahmad Fakri digantung satu perlawanan kerana menerima kad merah pada perlawanan pertama, Norfarhan kini mempunyai peluang untuk beraksi sebagai pemain utama.
“Kami tidak kecewa kerana tetap bernasib baik berjaya mencuri satu mata. Namun kami akan bangkit ketika menentang Terengganu.
“Mungkin saya berpeluang berada dalam kesebelasan utama dan jika mendapat peluang itu, saya akan mencuba yang terbaik untuk menjaringkan gol bagi membantu pasukan mendapatkan tiga mata,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata, seperti biasa anak didiknya tidak mempunyai masalah beraksi di laman sendiri ketika berdepan skuad kendalian E Elavarasan.
Bagaimanapun, jurulatih berusia 41 tahun dari Croatia itu tetap mengingatkan anak didiknya supaya berhati-hati dengan kebangkitan Terengganu selepas pasukan lawan tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan pertama.
“Kita perlu yakin ketika beraksi di tempat sendiri namun Terengganu pastinya akan bangkit untuk memburu tiga mata di tempat kita, saya harap pemain berhati-hati dengan keadaan ini,” katanya.
SUMBER: MY METRO ONLINE 2013/08/24
Tiada ulasan:
Catat Ulasan