Ahad, 8 September 2013

Harimau jinakkan Singa



Penjaring gol Harimau Muda, A. Thamil Arasu (tengah) bersama rakan sepasukan meraikan gol kemenangan Malaysia ketika menumpaskan Singapura 1-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMINdayne.ghazali@utusan.com.my
KUANTAN - Kehadiran peminat amat mengecewakan apabila tidak sampai 1,000 penonton memenuhi Stadium Darul Makmur, namun itu tidak mematahkan semangat skuad Harimau Muda untuk menang 1-0 ke atas Singapura dalam saingan pembukaan Pestabola Merdeka, semalam.
A. Thamil Arasu menjadi watak utama kemenangan skuad bawah 23 tahun Malaysia selepas menjaringkan gol tunggal kemenangan pada minit ke-46, 25 saat sebaik babak kedua bermula bagi memastikan kita memulakan kempen dengan tiga mata.
Walaupun tampil dengan aksi kemas dan mencipta deretan peluang, skuad bimbingan Ong Kim Swee yang tampak kurang selesa bermain di atas padang becak gagal meledak lebih banyak gol akibat ketumpulan penyudah.
Kecekapan penjaga gol lawan, Muhd. Syazwan Buhari turut menggagalkan usaha Malaysia untuk berpesta gol, biarpun mengharungi baki 35 minit terakhir menentang 10 pemain lawan.
Dua pemain paling mencuri tumpuan adalah bintang FC Ryukyu, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Junior Eldstal yang menjadi penggerak utama serangan Harimau Muda, selain kemantapan pertahanan negara yang dikawal Mohd. Fadhli Shas dan Nik Mohd. Shahrul Azim.
Harimau nyata lebih menguasai bahagian tengah tetapi disiplin yang ditunjukkan anak-anak buah V. Sundramoorthy memastikan babak pertama berakhir 0-0.
Malah, Singapura hampir meraih gol pembukaan pada minit ke-45 melalui Muhd. Khairul Nizam yang dapat diselamatkan Izham Tarmizi.
Gol yang dicari akhirnya menjelma sebaik babak kedua bermula dengan hantaran menarik Junior disudahkan Thamil yang menolak bola untuk jaringan sulung Pestabola Merdeka 2013.
Malaysia mendapat kelebihan pada minit ke-55 selepas pertahanan Singapura, Muhd. Afiq Yunos dilayangkan kad merah kerana menepis bola tandukan Mohd. Fadhli Shas dengan menggunakan tangan dan pengadil menghadiahkan penalti.
Malangnya, Wan Zack Haikal gagal menyudahkan sepakan yang dapat ditampan oleh Syazwan Buhari, dan Junior yang berada berhampiran sekadar menyepak lemah ke gawang.
Biarpun Malaysia mencipta kemenangan, kehadiran penonton amat mendukacitakan dengan tidak sampai 1,000 penyokong hadir semasa perlawanan dilangsungkan pada pukul 5.30 petang.
Mujur, kehadiran sekumpulan penyokong Ultras Malaya memberi semangat buat pemain negara.
Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluangkan masa kira-kira 15 minit menemui pemain negara turut menaikkan semangat mereka.
Dalam satu lagi perlawanan, Thailand dan Myanmar sekadar berkongsi mata apabila seri 1-1.


Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130908/su_01/Harimau-jinakkan-Singa#ixzz2eFilo3Xz

Thamil Arasu wira Harimau Muda

Oleh NOR AZIRAN YUNUS aziran.yunus@kosmo.com.my
Thamil Arasu (tengah) diasak pemain Singapura pada aksi sulung Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Pahang semalam.


SKUAD Harimau Muda bermula dengan langkah kanan pada aksi pembukaan Pestabola Merdeka 2013 selepas menewaskan Singapura 1-0 di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Pahang semalam.
Kedua-dua pasukan bermula agak perlahan selepas terpaksa beraksi dalam keadaan padang yang ditakungi air akibat hujan lebat sebelum A. Thamil Arasu meledakkan gol kemenangan pada minit ke-53.
Jaringan itu menyuntik semangat anak-anak buah Ong Kim Swee apabila mereka terus menguasai perlawanan dengan melancarkan serangan merbahaya ke kubu Singapura.
Kim Swee berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya pada aksi sulung itu.
Katanya, apa yang paling penting adalah mengutip tiga mata penuh.
"Keadaan padang yang teruk (air bertakung) telah merencatkan aksi kedua-dua pasukan dan saya sudah jangka Singapura akan beraksi dengan skuad kedua tetapi persembahan mereka wajar mendapat pujian.
"Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sudi meluangkan masa bertemu para pemain," kata Kim Swee.
Pada perlawanan semalam, Harimau Muda terlebih dahulu menguji benteng pertahanan Singapura apabila pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor berjaya melepaskan satu sepakan padu pada minit kedua tetapi tersasar.
Pada minit ketujuh, pemain sayap Singapura, Quak Jun Yi melakukan larian menarik di bahagian kanan pintu gol pasukan negara dan berjaya melepaskan percubaan tepat, namun mudah buat penjaga gol Harimau Muda A, Mohd. Izham Tarmizi.
Selepas 10 minit beraksi, Harimau Muda A mula mendapat rentak dan seterusnya melancarkan beberapa serangan berbahaya dan mendominasi permainan sepanjang separuh masa pertama.
Kapten Harimau Muda, Mohd. Irfan Fazail bijak mengawal jentera tengah dengan membuat hantaran-hantaran cantik dan dia berpeluang menghasilkan gol pembukaan pada minit ke-15 apabila rembatan volinya sedikit tersasar.
Aksi pemain sayap Ryukyu FC, Wan Zack juga tidak mengecewakan apabila dia memainkan peranan utama dalam merobek skuad Singa menerusi larian-larian derasnya dan pada minit ke-18 percubaannya dinafikan oleh penjaga gol Singapura, Muhd. Syazwan Buhari.
Selepas itu, Arasu berjaya memecahkan benteng Singapura menerusi gerakan satu dua dengan Mohd, Irfan pada minit ke-23 namun rembatannya tepat ke dakapan Muhd. Syazwan.
Pada minit ke-35, Harimau Muda mendapat peluang menerusi satu sepakan percuma bagaimanapun sepakan yang diambil oleh Wan Zack gagal disudahkan dengan sempurna oleh Putera Nadher Amarhan yang menanduk melepasi palang gol.
Kedua-dua pasukan memasuki bilik persalinan untuk rehat separuh masa pertama dengan kedudukan terikat 0-0.
Ketika babak kedua bersambung, Harimau Muda tidak menunggu lama apabila sebaik wisel ditiup oleh pengadil perlawanan mereka terus melancarkan serangan dan hasil gerakan satu dua antara Thamil dengan S. Sivanesan berjaya diterjemahkan menerusi jaringan itu.
Pada minit ke-56, Harimau Muda mendapat peluang terbaik menambah jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti kerana pemain Singapura, Muhd. Afiq Yunos menampan bola dengan tangan, sekali gus dilayangkan kad merah.
Namun, sepakan Wan Zack berjaya ditampan Muhd. Syazwan.
Harimau Muda akan bertemu Myanmar dalam aksi kedua esok.
RUJUKAN: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0908&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz2eFnvAenp

Kim Swee sentiasa ubah corak permainan

PENGENDALI Harimau Muda, Ong Kim Swee menegaskan bahawa beliau akan sentiasa merubah corak permainan dalam setiap perlawanan bagi mendapatkan gandingan yang benar-benar mantap pada Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember nanti.
Kim Swee berkata, selain mampu mengelirukan pihak lawan, tindakan untuk menukar corak permainan dan posisi para pemainnya itu bakal memberi manfaat kepada pasukan negara.
"Jika anda lihat kesebelasan utama skuad negara dalam pertemuan dengan Singapura tadi (semalam), hanya ada empat pemain Harimau Muda yang diturunkan, selebihnya adalah para pemain daripada kelab-kelab dan pasukan negeri.
"Selain itu, para pemain negara yang beraksi kali ini sangat cetek pengalaman di peringkat antarabangsa serta hanya beberapa minggu digabungkan. Pasukan terbaik adalah sebuah pasukan yang bermain dalam satu pasukan bersama-sama dalam tempoh yang lama.
"Anda lihat Singapura, walaupun bukan para pemain utama yang diturunkan kali ini tetapi mereka beraksi sebagai satu pasukan dengan sangat baik kerana mereka telah lama bermain dalam bersama.
"Bagaimanapun, saya tetap memuji gandingan Putera Nadher, Irfan Fazail, S. Sivanesan dan Nazmi Faiz yang saya lihat memainkan peranan sangat baik dalam menggerakkan jentera tengah serta serangan pasukan kita," kata Kim Swee.
Dalam pada itu, jurulatih berusia 42 tahun itu juga berkata, aksi bertemu Singapura itu bukanlah aksi sebenar pasukan Harimau Muda A.
Itu kerana, keadaan padang yang ditakungi air membuatkan beliau menukar corak hantaran pendek yang biasa diterapkan dalam pasukan Bawah 23 tahun negara kepada corak hantaran jauh.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi, Thailand seri 1-1 dengan Myanmar
Thailand berjaya membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi tandukan Chayawat Srinawong.
Bagaimanapun, Myanmar tidak berputus asa dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-11, juga menerusi tandukan oleh kapten, Kyaw Zayar Win.
Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo 8.9.2013

Singapura tewas sebab permukaan padang dipenuhi


WAN ZACK HAIKAL (tengah) cuba berebut bola dengan pemain Singapura dalam keadaan padang yang dipenuhi air semalam.


PENGENDALI Singapura, V. Sundramoorthy mendakwa keadaan padang yang dipenuhi air sebagai punca kekalahan 0-1 kepada Harimau Muda pada Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Pahang semalam.
Sebelum perlawanan bermula, hujan lebat turun di Kuantan dan menyebabkan padang itu ditakungi air.
Sundramoorthy berkata, keadaan padang yang dipenuhi air itu telah 'merosakkan' tempo permainan pasukan kendaliannya sehingga mereka tidak mampu bergerak serta menyepak bola dengan sempurna.
"Saya berharap pada aksi kedua nanti keadaan cuaca dan padang memihak kepada kami. Saya percaya para pemain saya akan bangkit selepas ini.
"Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan persembahan semua pemain dalam perlawanan sebentar tadi (semalam) walaupun kami datang ke Kuantan tanpa enam atau tujuh pemain utama," kata Sundramoorthy.
Pengendali berusia 47 tahun itu berkata, walaupun kebanyakan pemain yang dibawa ke sini adalah pemain-pemain kurang berpengalaman, beliau memuji keserasian dan komitmen tinggi yang ditunjukkan dalam aksi bertemu Harimau Muda itu.
Beliau turut mengakui sangat terasa ketiadaan penyerang utama, Hariss Harun dan penjaga gol, Izwan Mahbud yang tidak disenaraikan pada kejohanan kali ini kerana komitmen bersama skuad senior.
"Saya akui Hariss dan Izwan mempunyai pengaruh besar dalam skuad ini. Kehadiran mereka dalam pasukan bakal menambah keyakinan seluruh pemain namun saya tidak kecewa kerana saya percaya dengan barisan yang saya miliki ketika ini.
"Saya juga mahu mereka (pemain) melupakan kekalahan ini seterusnya memberi tumpuan kepada dua aksi berikutnya dan tidak mustahil kita (Singapura-Malaysia) akan bertemu di final," katanya.
Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo.8.9.2013

Sabtu, 7 September 2013

Perlawanan Pertama Pestabola Merdeka 2013

Malaysia 1-0 Singapura
7 September 2013: Malaysia U23 1-0 Singapore U23
Penjaring gol: A. Thami Arasu (46')

2 Reuben Thayaparan, 4 Md Fadhli Mohd Shas, 6 Saarvindran a/l Devandrn, 7 Mohd Irfan Fazail (C), 9 Thamil Arasu Ambumamee (11 Md Rozaimi Abdul Rahman 90'), 10 Wan Zack Haikal Wan Nor (20 Mohd Azrif Nasrulhaq (90'+2), 11 S. Sivanesan (21 Muhammad Nazmi Faiz 68'), 15 Putera Nadher Amarhan, 16 Mohd Zubir Mohd Azmi, 17 Nik Mohd Shahrul Azim, 22 Mohd Izham Tarmizi (GK)

Simpanan:
3 Shahrul Mohd Saad, 5 Muhammad Arif Farhan, 8 Muhammad Ferris Danial, 11 Md Rozaimi Abdul Rahman, 18 Md Firdaus Muhammad (GK), 19 Nazirul Naim Che Hashim, 20 Mohd Azrif Nasrulhaq, 21 Muhammad Nazmi Faiz, 23 Md Nasir Basharuddin, 24 Saiful Ridzuwan Selamat, 25 Syahrul Azwari Ibrahim

Ketua Jurulatih: Ong Kim Swee

6 September 2013 - Muhammad Ramadhan bin Abd Rahman, Ridzuan Abdunloh Pula dan Wan Ahmad Amir Zafran Wan Nadris digugurkan dari skuad

Senarai Pemain Singapura
Penjaga Gol: Izwan Mahbud (Lions XII), Neezam Abdul Aziz (Lions XII), Syazwan Buhari (Courts Young Lions)

Pertahanan: Md Al-Qaasimy Abdul Rahman (Courts Young Lions), Sheik Abdul Hadi (Courts Young Lions), Afiq Yunos (Courts Young Lions), Faiz Mohd Salleh (Courts Young Lions), Faris Azienuddin Khaeri (Lions XII), Shakir Hamzah (Lions XII), Madhu Mohana (Lions XII), Hafiz Abu Sujad (Lions XII)

Tengah: Nazrul Nazari (Lions XII), Gabriel Quak Jun Yi (Lions XII), Izzdin Shafiq (Lions XII), Md Aqhari Abdullah (Lions XII), Md Zulfahmi Md Arifin (Lions XII), Shamil Sharif (Courts Young Lions), Md Raihan Abdul Rahman (Courts Young Lions)

Penyerang: Fazli Ayob (Lions XII), Faris Ramli (Lions XII), Khairul Nizam (Lions XII), Syafiq Zainal (LionsXII)

RAMALAN PERLAWANAN PERTAMA PESTABOLA MERDEKA

Ramalan Malaysia vs Singapura - oleh Ahmad Yaakob.
Perlawanan pertama Pestabola Merdeka ke-41 antara Malaysia dan Singapura akan berlangsung di Stadium Darul Makmur pada pukul 5.30 petang. perlawanan ini akan disiarkan secara langsung oleh TV9, Astro 119. Kieran meramalkan Malaysia akan menang 2-1. Tetapi berdasarkan kemampuan Pasukan B-23 bimbingan Ong Kim Swee yang telah banyak menimba pengalaman di Eropah saya yakin Malaysia akan menang 3-1. Keyakinan ini berdasarkan kepada kemasukan pemain luar di dalam skuad Ong Kim Swee seperti Wan Zack Haikal Wan Noor yang bermain bersama Kelab FC Ryukyu Jepun.

       Kekuatan Pasukan Bawah 23 Malaysia semakin bertambah apabila Ong Kim Swee memanggil pemain luar seperti Mohammad Nasir Basharuddin (Perak), S.Sivanesan yang menjaringkan 5 gol dalam Piala Malaysia (Negeri Sembilan), Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim (Kelantan), Mphd Zubir Mohd Azmi (Terengganu), Putera Nadher Amarhan Maderner (Sarawak), K.Reuben (ATM) dan Muhamad Nazmi Faiz Mansor PKNS Selangor.

Jumaat, 6 September 2013

Hormati keputusan Rajagobal: Piya


  • Hormati keputusan Rajagobal: PiyaPiya (kanan) kecewa apabila namanya tidak disenaraikan Rajagobal.

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
KAPTEN The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi sedikit kecewa namun menghormati keputusan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal yang tidak menyenaraikannya bersama skuad kebangsaan menghadapi perlawanan persahabatan menentang China di Tianjin, 10 September ini.

Jelasnya, senarai nama yang dipanggil berlatih bersama skuad kebangsaan sudah dikeluarkan dan terbuka menerimanya.

"Bagi saya, itu adalah pilihan terbaik yang dilakukan beliau untuk menggalas tugas mewakili negara. Jurulatih sudah mengeluarkan senarai pemain dipanggil menjalani latihan.

“Saya menerima keputusan ini dengan hati terbuka. Siapa tahu mungkin beliau akan memanggil saya untuk menyarung jersi kebangsaan pada perlawanan lain selepas ini,” katanya.

Mohd Badhri atau dikenali Piya berkata, soal nama beliau tersisih tidak perlu dijadikan isu memandangkan pengendali skuad kebangsaan berusia 57 tahun itu mempunyai hak dan alasan berbuat demikian.

“Saya hormati keputusan jurulatih dan berharap isu ini tidak lagi diperbesarkan” jelasnya memandang positif disebalik keputusan yang diambil jurulatih kebangsaan itu.

Dua bulan lalu pemain tengah dan perancang Pahlawan Merah itu pernah dipanggil bersama Harimau Malaya menjalani latihan menghadapi perlawanan persahabatan menentang Chelsea dan Barcelona namun Piya menolak disebabkan masalah kecederaan yang dialaminya ketika aksi terakhir Kelantan menentang Lions XII di Kota Bharu, 6 Julai lalu.