Rabu, 11 Disember 2013

Reuben sedia jadi 'kereta kebal'

Oleh SUFIAN HADI MOHD. SOJAK

sukan@utusan.com.my
 
K. Reuben
KUALA LUMPUR - Kemenangan bergaya Harimau Muda 3-1 ke atas kelab divisyen tiga Jepun, FC Ryukyu menyemarakkan keinginan pertahanan Harimau Muda, K. Reuben untuk menjadi jentera 'kereta kebal' Malaysia.

Tonggak pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkata, dia tidak akan mempersia-siakan kepercayaan yang diberi oleh pengendali Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee.

Misinya adalah cuba membantu Harimau Muda memenuhi misi memburu kejuaraan hatrik Sukan SEA.

Biarpun pertama kali berada di pentas sukan dwi-tahunan itu, namun Reuben tidak berasa janggal, malah mengakui semangatnya untuk mempamer aksi semakin membara.

"Latihan, perlawanan dan motivasi yang diberikan menjadikan saya sudah bersedia serta dapat membina keserasian bersama pemain lain. Sekarang kami semua ibarat satu keluarga sudah.

"Saya tidak berasa gemuruh, mungkin sebab berbekalkan pengalaman sedia ada di mana saya pernah bermain bersama Malaysia pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) Ke-27, Piala SCTV 2012 dan Pestabola Merdeka 2013.

"Walaupun pertama kali mewakili negara di Sukan SEA, pengalaman baharu ini dapat membina kemahiran serta keyakinan dalam diri saya.

"Saya akan pastikan benteng pertahanan kami kukuh dan tidak mahu dibolosi.

"Selain menjaga benteng, saya juga akan membuat banyak larian ke hadapan dengan cuba membantu jentera serangan, terutama dalam melakukan hantaran-hantaran lintang," katanya, semalam.

Aksi pemain kelahiran Kajang itu memikat hati Kim Swee apabila memainkan peranan dengan baik dalam mengekang serangan lawan ketika menentang FC Ryuku, Rabu lalu.

Kini, Reuben, 23, telah bersedia mengasah 'senjata' sekali gus mahu meneruskan rentak cemerlangnya menentang pasukan yang bakal memberi tentangan sengit kepada skuad Harimau Muda.

"Cabaran negara lain seperti Thailand, Indonesia dan Singapura, pemain mereka mempunyai kualiti dan taktikal yang sukar dibaca.

"Jadi, saya akan membuat yang terbaik dan selebihnya, terserah kepada Tuhan.

"Para pemain sekarang tengah bersemangat. Kami akan membuat yang terbaik dan mengerah 100 peratus tenaga demi maruah bola sepak negara," katanya.




RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131207/su_02/Reuben-sedia-jadi-kereta-kebal#ixzz2mkDTwNpj 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan