Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

KIM SWEE (kanan) berjabat
tangan dengan jurulatih FC Ryukyu, Norihiro Satsukawa pada sidang akhbar di
Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
TUMPUAN Datuk Ong Kim Swee kini
terarah kepada persiapan skuad Harimau Muda A bagi menghadapi Sukan SEA 2013 di
Myanmar yang akan membuka tirainya secara rasmi 11 Disember ini.
Justeru, Kim Swee tidak
mempunyai sebarang perancangan terhadap skuad Harimau Malaya yang bakal
kehilangan khidmat ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal.
Terdahulu, Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) membuat keputusan melantik Kim Swee sebagai pengendali sementara
Harimau Malaya.
Ini kerana FAM tidak menyambung
kontrak Rajagobal yang akan tamat pada 31 Disember ini.
"Buat masa ini, saya hanya
mahu berikan perhatian kepada pada Sukan SEA di Myanmar.
"Bagi saya... terlalu awal
untuk memikirkan tugasan bersama Harimau Malaya untuk aksi menentang Yemen
(dalam kelayakan Piala Asia 2015) pada Mac tahun depan.
"Biarlah saya memberikan
fokus pada Sukan SEA di Myanmar, itulah perkara paling mustahak buat masa
ini," kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pada satu sidang akhbar khas di
Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin, Rajagobal dilaporkan berkata, beliau berharap
penggantinya mampu menjelmakan keputusan lebih baik apabila membimbing Harimau
Malaya nanti.
Menurut Kim Swee, kenyataan
Rajagobal itu tidak merujuk kepadanya, sebaliknya beliau menyifatkan 'pesanan'
tersebut ditujukan kepada bakal jurulatih baharu Harimau Malaya yang dilantik
secara tetap oleh FAM.
"Seperti yang saya katakan
sebelum ini, saya hanya dilantik sebagai jurulatih sementara. Saya tidak rasa
kenyataannya (Rajagobal) merujuk kepada saya.
"Kami memahami skop
(tugasan) masing-masing dan kenyataan itu terlalu umum. Jadi, apa yang paling
mustahak, saya perlu memberikan fokus kepada Harimau Muda A.
"Selepas berakhir Sukan
SEA, barulah saya akan alihkan perhatian kepada Harimau Malaya. Itupun jika FAM
masih belum menemui calon jurulatih tetap," katanya.
Sebagai rekod, skuad bimbingan
Rajagobal berjaya memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos sebelum
anak-anak buahnya muncul juara Piala Suzuki AFF setahun kemudian.
www.kosmo.com.my/kosmo/4.12.2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan