Isnin, 7 Oktober 2013

Annuar: TMJ tak perlu berundur

  • NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
    7 Oktober 2013
  • Annuar MusaTan Sri Annuar Musa
 1 / 2 
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa tidak bersetuju tindakan Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sekiranya beliau gagal membimbing skuad Harimau Selatan menjulang sebarang piala musim depan.

Menurut Annuar, keputusan itu tidak wajar dibuat memandangkan terlalu banyak jasa yang telah dibuat oleh Tunku Ismail demi membangunkan nama bola sepak Johor.

"Tunku Ismail tak perlu berundur hanya kerana tidak dapat sebarang piala. Sebenarnya baginda cukup berjaya membawa aura segar bola sepak Johor.

"Pengorbanan baginda tersangat besar. Pasukan dan kelab penyokong Johor amat mengkagumkan saya. Mungkin tahun 2014 tahun untuk Johor, siapa tahu kerana setiap usaja akan ada hasilnya.

"Saya harap Tunku Ismail akan teruskan usaha itu, InsyaAllah berjaya," katanya menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Tunku Ismail yang akan meletakkan jawatan sebagai Presiden PBNJ sekiranya beliau gagal membimbing skuad Harimau Selatan menjulang sebarang piala musim depan.

Janji Tunku Ismail itu dibuat kepada peminat bola sepak negeri ini seperti disiarkan di laman sosial Facebook Johor Fan Club, sekali gus menunjukkan betapa seriusnya beliau mahu mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri ini.

Kenyataan Tunku Mahkota Johor hadir sejurus selepas pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT) kalah besar 1-6 kepada Kelantan di Kota Bahru, Sabtu lepas dan menyebabkan skuad bimbingan Azmi Mohamed itu tersingkir daripada saingan Piala Malaysia.RUJUKAN: SINAR HARIAN ONLINE 7.10.13

Piala Malaysia: Venue perlawanan ATM vs TRW diubah

  • NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
    7 Oktober 2013
  • FAMFAM
 1 / 1 
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 18 Oktober membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan  akan berlangsung di Stadium Shah Alam dan bukan di Stadium Selayang seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Datuk Affandi Hamzah berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan aspek keselamatan peminat kedua-dua pasukan terkawal dan terjamin.

"Kita difahamkan Stadium Selayang hanya mempunyai kapasiti 16,000 penonton dan memandangkan ATM dan Kelantan memiliki jumlah penyokong ramai kita risau perkara tidak diingini akan berlaku kerana terpaksa berhimpit di dalam stadium. Jadi, kita membuat keputusan untuk mengubah venue asal.

"Hasil perbincangan dibuat akhirnya kita merasakan Stadium Shah Alam paling sesuai kerana ia mampu menampung 80,000 orang kerana kita juga menjangkakan perlawanan itu nanti dilimpahi peminat kedua-dua pasukan.

"Oleh itu, saya harap perubahan stadium ini akan memberi keselesaan kepada peminat untuk menyaksikan perlawanan itu nanti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Semalam, ATM turut bersetuju seandainya aksi separuh akhir tidak diadakan di Stadium Selayang memandangkan sambutan dari penyokong kedua-dua pasukan pastinya meriah.

Malah ATM juga dikatakan telah memikirkan situasi ini selepas berjaya menewaskan Lions XII dalam aksi kedua suku akhir pertama 4 Oktober lalu.

Beliau yang juga Naib Presiden FAM berkata, kedua-dua pasukan telah menyatakan persetujuan untuk beraksi di stadium yang boleh memuatkan hampir 80,000 penonton.

“Tarikh dan masa perlawanan 8.45 malam tidak berubah,” katanya.

Untuk rekod, ATM melangkah ke separuh akhir selepas menyingkirkan LionsXII dengan agregat 4-2 manakala Kelantan yang juga juara bertahan bangkit selepas tewas 2-4 pada suku akhir pertama untuk membelasah Johor DT di Kota Bharu dengan keputusan 6-1 dan mara dengan agregat 8-5.

Signifikan nombor 6, gol TRW dan Annuar Musa

  • JAMILAH HAMZAH
    6 Oktober 2013
  • Signifikan nombor 6, gol TRW dan Annuar MusaPemain Kelantan Dickson Naekame (dua, kanan) dikawal ketat oleh pemain Johor Aidil Zafuan Abdul Razak dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu malam tadi . Kelantan menewaskan Johor 6-1 - Foto Bernama
KEMENANGAN ke atas Johor Darul Takzim (JDT) tentunya cukup bermakna buat pasukan The Red Warriors (TRW) dan seluruh rakyat Kelantan.

Kemenangan bergaya dengan berpesta enam gol itu juga merupakan nombor yang cukup signifikan dalam hidup Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa.

Annuar menerusi laman sosial Facebook berkongsi "ketentuan" angka enam dalam hidupnya.

"Kebetulan agaknya...saya anak ke enam...nombor Digi saya berakhir dengan 666666...nombor Maxis saya berakhir dengan 6666...nombor telefon pejabat Pengerusi Mara berakhir dengan 666.

"Saya masuk hospital bilik CCU nombor enam, saya calon Majlis Tertinggi nombor enam, dan malam ini (semalam) TRW mara ke separuh akhir dengan gol jaringan enam gol. Demikian ketentuan ILLAHI," katanya.

TRW malam tadi melepasi ranjau penuh berliku untuk menempah tiket ke saingan separuh akhir Piala Malaysia musim ini setelah menyingkirkan JDT penuh bergaya menerusi agregat 8-5.

Anak buah Bojan Hodak itu membelasah JDT 6-1 pada aksi suku akhir kedua sekali gus memadamkan agregat awal 4-2 dimiliki pelawat.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh berkata, angka enam itu juga memberi semangat kepadanya walaupun tidak dapat menyertai himpunan Memperkenalkan Calon bagi Ahli Majlis Tertinggi Umno di Kota Bharu hari ini ekoran masalah kesihatan yang dialaminya.

"Hari ini 6 Oktober, semua calon pemilihan Majlis Tertinggi dari seluruh negara berhimpun bagi sesi Memperkenalkan Calon.

"Hari ini terasa segar kerana TRW menjaringkan enam gol malam tadi, sebagai calon MT nombor enam saya turut berkirim salam pada semua yang hadir majlis pagi ini walau tidak bersama dalam majlis.

"Saya turut menawar khidmat berdasarkan 'track rekod' perkhidmatan dan kesetiaan pada perjuangan," tambahnya. RUJUKAN SINAR HARIAN ONLINE 6.10.13

Kelantan singkir JDT

  • MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD, FOTO : KHIRU SHALEH ABDULLAH
    6 Oktober 2013
  • Kelantan singkir JDT
KOTA BHARU – Penyandang juara, The Red Warriors melepasi ranjau penuh berliku untuk menempah tiket ke saingan separuh akhir Piala Malaysia musim ini setelah menyingkirkan Johor Darul Takzim (JDT) penuh bergaya menerusi agregat 8-5.

Anak buah Bojan Hodak membuktikan segala kemungkinan boleh berlaku dalam tempoh 90 minit apabila berpesta gol membelasah JDT 6-1 pada aksi suku akhir kedua sekali gus memadamkan agregat awal 4-2 dimiliki pelawat di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Bagi skuad Harimau Selatan, mereka ibarat jaguh kampung kerana hanya gah di Larkin sahaja sambil Norshahrul Idlan Talaha harus menelan kepahitan usahanya untuk menyingkirkan bekas pasukan lamanya di Kota Bharu tetap tidak kesampaian.

Keghairahan Kelantan untuk memburu ‘gol semangat’ terserlah seawal minit kedua apabila sepakan bebas Zairo Anuar Zalani tepat menuju kepada Indra Putra Mahayuddin namun tandukan kencangnya dinafikan palang gol JDT.

Lima minit kemudian, gawang JDT cemas seketika apabila Mohd Norfarhan Muhammad melakukan hantaran silang kepada Indra Putra namun rembatan bekas pemain kebangsaan itu sempat ditampan keluar kapten pelawat, Mohamad Aidil Zakuan Abd Radzak.

JDT yang beraksi tanpa penjaga gol utama, Muhammad Al-Hafiz Hamzah bagaimana pun kembali melancarkan serangan balas pada minit ke-12 namun percubaan Mohd Safee Mohd Sali sempat ditolak keluar Azizi Matt Rose di dalam kotak penalti.

Gol yang dinanti-nantikan hampir 25,000 penyokong tuan rumah akhirnya menjelma pada minit ke-19 apabila Dickson Nwakaeme menggelecek tiga pemain pertahanan JDT, sebelum rembatan deras Mohd Norfarhan yang terkena palang terus menerjah jaring sekali gus gagal diselamatkan penjaga gol, Zulfadhli Mohamed.

Pelawat yang tersentak dengan jaringan tersebut bertindak mengeluarkan Muhammad Irfan Abdul Ghani dua minit kemudian, setelah posisi bek kirinya sering kali ditembusi tuan rumah namun pemain gantian, Ahmad Tharmini Saiban cukup tempang beraksi di benteng pertahanan.

JDT terus sengsara apabila tuan rumah menjadikan agregat seimbang 4 – 4 pada minit ke-32 apabila hantaran lambung Mohd Norfarhan yang gagal ditanduk keluar Ahmad Tharmimi disepak masuk Kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi meski pun beliau berada dalam sudut sukar untuk menjaringkan gol.

Kerapuhan benteng JDT yang diterajui Mohamad Aidil Zakuan sekali lagi terserlah apabila membenarkan Indra Putra menanduk kencang hantaran lintang Mohd Badhri seminit kemudian namun berjaya diselamatkan penjaga gawang mereka.

Pelawat bagaimana pun mengubah kedudukan agregat semasa 5 – 4 pada minit ke-42 apabila Mohd Safee Mohd Sali menghukum kesilapan Azizi dengan merembat masuk ke gawang tuan rumah setelah penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat terkeluar daripada posisinya.

Namun kegembiraan pemain JDT tidak bertahan lama apabila giliran tonggak import Kelantan, Obinna Nwaneri menyamakan agregat 5 – 5 setelah beliau menolak masuk berpunca bola muntah tangkapan Zulfadhli hasil rembatan kencang Indra Putra seminit sebelum babak pertama berakhir.
Seminit babak kedua bersambung, Nwakaeme memastikan pasukannya unggul di depan dengan agregat 6-5 setelah mengutip bola rembatan lemah Indra Putra dengan menampan masuk untuk menewaskan Zulfadhli bagi gol keempat pasukannya.

Usaha JDT untuk merapatkan jurang hadir pada minit ke-54 apabila sepakan bebas dilakukan Shafiq Rahim memaksa Khairul Fahmi menepis bola namun percubaan susulan Mohamad Aidil Zakuan pantas disepak keluar Zairo Anuar.

Ketinggalan 1- 4, tidak banyak yang mampu dilakukan pemain JDT, malah percaturan jurulatih, Azmi Mohamed memasukkan Leonel George Nunez pada minit ke-60 nyata sia-sia apabila bintang import Argentina langsung gagal memberi sumbangan bermakna buat pasukan mereka.

Sebaliknya, tuan rumah semakin rakus menambahkan jaringan, dan Mohd Norfarhan tampil selaku pencetak gol kelima dan kedua peribadinya apabila rembatan rendah melepasi jangkuan Zulfadli hasil umpanan cantik dari Indra Putra pada minit ke-62.

Malah tuan rumah nyaris menjarakkan kedudukan pada minit ke-76 namun sepakan percuma dilakukan Indra Putra sedikit tersasar disusuli rembatan Zairo Anuar seminit kemudian ditangkap kemas Zulfadhli.

Derita JDT bertambah parah ketika permainan menuju minit-minit akhir, apabila Indra Putra merembat masuk gol keenam setelah Nwakaeme memperdayakan tiga pemain pertahanan di dalam kotak penalti untuk melengkapkan pesta gol Kelantan dalam perlawanan malam tadi.

Kemenangan menerusi agregat 8-5 ke atas pasukan berstatus kelab itu membolehkan Kelantan bertemu Angkatan Tentera Malaysia pada saingan separuh akhir pertama yang akan berlangsung di Stadium Selayang, 18 Oktober ini.
RUJUKAN SINAR HARIAN ONLINE 6.10.13

Indra yakin Kelantan ke final

  • MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
    3 Oktober 2013
  • Indra Putra Pemain sayap Kelantan, Indra Putra (kanan) optimis pasukannya mampu menundukkan JDT pada aksi timbal balas di Kota Bharu, Sabtu ini. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
TIDAK kiralah apa pun pandangan di kem Johor Darul Takzim (JDT), namun hakikatnya, Penolong Ketua Pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin juga turut yakin pasukannya mampu melangkah ke separuh akhir, kempen Piala Malaysia musim ini.

Bukan bernada angkuh tetapi naluri bekas pemain kebangsaan itu cukup kuat mengatakan Kelantan mampu memadamkan kelebihan dua jaringan dimiliki skuad Harimau Selatan menjelang pertemuan sengit kedua-dua pasukan pada aksi timbal balas di Kota Bharu, Sabtu ini.

Indra Putra berkata, Kelantan mempunyai kelebihan beraksi di Stadium Sultan Muhammad IV meskipun gelanggang keramat berusia 47 tahun itu tidak lagi kebal bagi pasukannya pada musim ini.

“Memang kami ketinggalan dua gol sekarang, tetapi saya percaya kami boleh bangkit dengan menewaskan JDT, Sabtu ini. Kami mempunyai pemain ke-12 (penyokong) yang mampu meruntuhkan semangat juang pemain lawan dengan sorakan padu mereka.
“Kekalahan 2-4 adalah satu peringatan kepada Kelantan supaya perlu berusaha lebih gigih dan fokus utama kami sebaik sahaja wisel perlawanan dibunyikan ialah mendapatkan jaringan awal,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Kelantan sepatutnya tidak pulang tangan kosong dari Larkin setelah mempamerkan kebangkitan dengan beraksi cemerlang pada babak kedua namun banyak peluang yang diperoleh barisan pemainnya gagal menghasilkan gol.

“Kalau dilihat, tak kurang lima peluang kami ada untuk menjaringkan gol namun gagal menepati sasaran. Mungkin bukan rezeki kami untuk sekurang-kurangnya mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan itu,” katanya.

Indra Putra yang kini muncul selaku penjaring kedua terbanyak Kelantan dalam kempen Piala Malaysia ketika ini dengan empat gol memberitahu, rakan sepasukannya terutama di benteng pertahanan perlu meminimumkan kesilapan jika tidak mahu usaha mempertahankan kejuaraan berakhir dengan kegagalan.

Malah pemain sayap berusia 32 tahun itu turut menggesa rakan sepasukannya melupakan kekalahan pada aksi suku akhir pertama, sebaliknya kembali fokus terhadap persiapan mereka bagi membalas dendam ke atas skuad kendalian Azmi Mohamed itu.

“Jangan terlampau rasa tertekan, kita kena bermain seperti biasa. Insya-ALLAH, jaringan itu akan datang dengan sendiri. Saya percaya jika semua pemain menunjukkan aksi terbaik, kita mampu mara ke separuh akhir,” katanya.

Nazrin Nawi : 'Maafkan saya TRW'


  • SUBKHI SUDARJI
    24 September 2013
  • Nazrin Nawi Nazrin pilih JDT demi masa depan dan aksi mencabar.
TEKA-TEKI ke mana hala tuju pemain sayap lincah Negeri Sembilan, Nazrin Nawi yang menjadi rebutan beberapa pasukan elit musim depan akhirnya terjawab apabila bakal menyarung jersi Johor Darul Takzim (JDT).

Nazrin yang akan tamat kontrak November ini bersama Negeri Sembilan menyifatkan keputusan memilih JDT tepat demi kariernya.

"Buat masa ini segala urusan perpindahan hampir 95 peratus untuk diselesaikan selepas kontrak bersama Negeri Sembilan berakhir November.

"Beraksi bersama pasukan besar seperti JDT memang menjadi idaman setiap pemain bola sepak selain bergandingan dengan Pablo Aimar dan pemain bintang yang lain.
"Sokongan peminat pasukan juga mendorong saya memilih Harimau Selatan selain cabaran merebut posisi utama setiap kali pasukan beraksi.

"Peluang datang hanya sekali dan ia perlu dimanfaatkan, setiap pemain inginkan cabaran, ia tidak terkecuali kerana inilah masanya saya ingin buktikan kepada peminat bola sepak tempatan," katanya.

Nazrin berkata, faktor kewangan yang kukuh dari JDT mendorong keputusannya demi karier masa depannya.

"Semua orang pasti melihat perpindahan ini dibayangi gaji tinggi, itu tak dapat dinafikan kerana kerjaya bola sepak adalah profesional dan saya mencari rezeki demi masa depan.

"Bagi saya ia bukanlah satu kesalahan kerana Negeri Sembilan mengetahuinya dan tidak menghalang kerana saya bebas membuat keputusan berhijrah atau sebaliknya.

"Mereka (Negeri Sembilan) ada menawarkan kontrak baru, saya hargai namun terpaksa menolak dan mereka memahami," katanya.

Mengulas tentang perkhabaran mengaitkan dirinya akan menabur bakti bersama pasukan Kelantan, Nazri menjelaskan sememangnya ada dalam perancangan sebelum ini.

"Kita tidak boleh memenuhi semua kehendak penyokong, keputusan perlu dibuat dan saya kini di fasa terakhir untuk beraksi bersama Harimau Selatan," katanya.

Kelibat Nazrin mula mendapat perhatian selepas berjaya meledak hatrik membantu pasukannya menewaskan Sabah 4-0 dalam aksi playoff Piala Malaysia, selain aksi larian pantas dan bertenaga ketika bersama Harimau Malaya dalam beberapa siri perlawanan persahabatan antarabangsa.

Bermula daripada situ, pemain berusia 25 tahun ini semakin digeruni lawan terutamanya melalui sepakan percuma kaki kiri yang boleh dikatakan bola sentiasa menerjah jaring gol lawan.

Sebelum ini, pemain tersebut dikatakan bakal bersama Kelantan dan sudah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) namun terpaksa membatalkannya kerana mendapat tawaran JDT.

Difahamkan, Nazrin menerima RM7,000 sebulan ketika bersama Negeri Sembilan dan ditawarkan RM14,000 sebulan oleh Kelantan, manakala JDT menawarkan kira-kira RM40,000 sebulan bagi mendapatkan khidmatnya.
RUJUKAN SINAR HARIAN ONLINE 7.10.13

KELANTAN 6-1 JOHOR JDT


KELANTAN
Ketua Jurulatih: Bojan Hodak (Croatia)
Penjaga Gol:19. Khairul Fahmi Che Mat, 
Pertahanan: 2.Azizi Matt Rose, 4.Obinna Nwaneri, 5.Nik Shahrul Azim Abdul Halim, 6.Mohd Farisham Ismail, 24. Zairul Fitree Ishak (PG), 
Tengah: 10.Mohd Nor Farhan Muhammad,  16.Mohd Badhri Mohd Radzi,9. Ahmad Fakri Saarani(PG), 7.Zairo Anuar Zalani, 8.Mohd Shakir Shaari,25. K.Nanthakumar (PG).
Penyerang: 20. Dickson Nwakaeme,  23.Indra Putra Mahayuddin.
Penjaring gol
Mohd Nor Farhan Muhammad - 2 gol
Indra Putra Mahayuddin- 1 gol.
Mohd Badhri Mohd Radzi- 1 gol
Obinna Nwaneri- 1 gol
Dickson Nwakaeme- 1 gol.

JOHOR DARUL TAKZIM

Penjaga Gol: 22- Zulfadhli Mohamed.
Pertahanan:2. Mohd Irfan Abdul Ghani, 5.Ahmad Tharmini Saiban(pg),7. Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 19 Muhd Nazri Ahmad.
Tengah: 8. Mohd Safiq Rahim, 12. Nurul Azwan Roya, 13.Ahmad Ezrie Shafizie (pg), 21.Jasazrin Jamaluddin, 27 Hadin Azman, 28.Muhammad Akram Mahinan.
Penyerang: 9.Norshahrul Idlan Talaha, 11.Leonel Nunez(pg),14. Mohd Safee Mohd Sali.