Isnin, 7 Oktober 2013

Indra yakin Kelantan ke final

  • MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
    3 Oktober 2013
  • Indra Putra Pemain sayap Kelantan, Indra Putra (kanan) optimis pasukannya mampu menundukkan JDT pada aksi timbal balas di Kota Bharu, Sabtu ini. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
TIDAK kiralah apa pun pandangan di kem Johor Darul Takzim (JDT), namun hakikatnya, Penolong Ketua Pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin juga turut yakin pasukannya mampu melangkah ke separuh akhir, kempen Piala Malaysia musim ini.

Bukan bernada angkuh tetapi naluri bekas pemain kebangsaan itu cukup kuat mengatakan Kelantan mampu memadamkan kelebihan dua jaringan dimiliki skuad Harimau Selatan menjelang pertemuan sengit kedua-dua pasukan pada aksi timbal balas di Kota Bharu, Sabtu ini.

Indra Putra berkata, Kelantan mempunyai kelebihan beraksi di Stadium Sultan Muhammad IV meskipun gelanggang keramat berusia 47 tahun itu tidak lagi kebal bagi pasukannya pada musim ini.

“Memang kami ketinggalan dua gol sekarang, tetapi saya percaya kami boleh bangkit dengan menewaskan JDT, Sabtu ini. Kami mempunyai pemain ke-12 (penyokong) yang mampu meruntuhkan semangat juang pemain lawan dengan sorakan padu mereka.
“Kekalahan 2-4 adalah satu peringatan kepada Kelantan supaya perlu berusaha lebih gigih dan fokus utama kami sebaik sahaja wisel perlawanan dibunyikan ialah mendapatkan jaringan awal,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Kelantan sepatutnya tidak pulang tangan kosong dari Larkin setelah mempamerkan kebangkitan dengan beraksi cemerlang pada babak kedua namun banyak peluang yang diperoleh barisan pemainnya gagal menghasilkan gol.

“Kalau dilihat, tak kurang lima peluang kami ada untuk menjaringkan gol namun gagal menepati sasaran. Mungkin bukan rezeki kami untuk sekurang-kurangnya mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan itu,” katanya.

Indra Putra yang kini muncul selaku penjaring kedua terbanyak Kelantan dalam kempen Piala Malaysia ketika ini dengan empat gol memberitahu, rakan sepasukannya terutama di benteng pertahanan perlu meminimumkan kesilapan jika tidak mahu usaha mempertahankan kejuaraan berakhir dengan kegagalan.

Malah pemain sayap berusia 32 tahun itu turut menggesa rakan sepasukannya melupakan kekalahan pada aksi suku akhir pertama, sebaliknya kembali fokus terhadap persiapan mereka bagi membalas dendam ke atas skuad kendalian Azmi Mohamed itu.

“Jangan terlampau rasa tertekan, kita kena bermain seperti biasa. Insya-ALLAH, jaringan itu akan datang dengan sendiri. Saya percaya jika semua pemain menunjukkan aksi terbaik, kita mampu mara ke separuh akhir,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan