Sabtu, 12 Oktober 2013

FAM: Indra Putra tidak akan didakwa



  • NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
    8 Oktober 2013
  • indra
 1 / 1 
PEMAIN Kelantan, Indra Putra Mahayuddin mampu menarik nafas lega apabila beliau tidak akan dikenakan denda oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan insiden menyiku penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha pada suku akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Indra Putra tidak akan didakwa apabila tiada laporan yang diterima pihaknya daripada pegawai perlawanan mengenai insiden tersebut.

"Laporan mengenai perlawanan tersebut saya sudah terima semalam (Isnin) tetapi laporan untuk insiden itu tiada.

"Malah laporan dari kedua-dua pasukan juga tidak diterima, jadi setakat ini tiada apa tindakan yang akan diambil kepada Indra Putra.

"Bagaimanapun, sekiranya ada laporan selepas ini kita akan melihat berdasarkan peraturan yang ada kerana kita perlu adil kepada kedua-dua pihak. Namun setakat ini tiada kes atau laporan," katanya selepas sidang media mengenai Persiapan Harimau Muda A ke Sukan Sea di Wisma FAM, hari ini.

Dalam laporan media tempatan baru-baru ini melaporkan Indra Putra bakal berdepan tindakan FAM selepas dia didakwa menyiku Norshahrul ketika pertembungan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV.

Ekoran insiden itu, pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu mengalami kecederaan hidung dan terpaksa mendapatkan rawatan susulan.

Malah difahamkan kecederaan yang menimpa Norshahrul mungkin lebih serius daripada yang dijangka selepas dia difahamkan tidak berlepas ke Shenzhen, China bersama Harimau Malaya bagi perlawanan persahabatan menentang Emiriah Arab Bersatu.

Bagaimanapun, penyerang Kelantan itu menafikan dia sengaja menyiku muka Norshahrul mahupun menyimpan niat jahat untuk mencederakan bekas pemain The Red Warriors (TRW) itu.

Indra Putra berkata, sebagai pemain profesional, dia menghormati peraturan bola sepak negara dan sedar sebarang kekasaran yang dilakukan secara sengaja boleh mengundang padah.
RUJUKAN:SINAR HARIAN ONLINE 8.10.13

Tiada ulasan:

Catat Ulasan