Isnin, 7 Oktober 2013

ATM lebih kuat dari JDT

PEMAIN Kelantan, Obinna Nwaneri cuba menanduk bola namun berjaya ditangkap penjaga gol Johor Darul Takzim, Zulfadhli Mohamed pada aksi suku akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin. - UTUSAN/Irwan Majid
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU - Pengendali Kelantan, Bojan Hodak menyifatkan lawan yang bakal ditentang pada separuh akhir Piala Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah pasukan yang lebih kental berbanding pencabar mereka di suku akhir, Johor Darul Takzim (Johor DT).
Kata Hodak, kemampuan skuad The Gladiators itu menumbangkan juara Liga Super, LionsXII dengan kemenangan besar 4-1 pada suku akhir kedua, Jumaat lalu membuktikan mereka memiliki barisan pemain yang amat berbahaya. ATM mara ke separuh akhir dengan agregat 4-2.
Hodak turut menambah, penyerang ATM, Marlon Alex James yang kini berada pada tahap terbaiknya antara yang perlu diberi perhatian serius apabila kedua-dua pasukan berentap pada separuh akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 19 Oktober ini.
"Pada saya ATM adalah lawan yang lebih bagus kerana mereka memiliki semangat juang yang sangat tinggi. Selepas kalah 0-1 kepada LionsXII di Singapura, mereka cuba bangkit dan berjaya mencatat kemenangan besar di tempat sendiri.
"Malah, kekuatan utama mereka juga terletak kepada Marlon Alex James yang kini berada pada prestasi terbaik. Sudah tentu, kami harus memberi tumpuan kepada pemain ini apabila bertemu nanti," ujar Hodak.
Hodak turut mengakui, beliau tidak pernah menyangka pasukannya mampu membenam Johor DT menerusi jaringan yang besar, sambil menyifatkan kemenangan 6-1 yang dilakar sebagai persembahan terbaik pernah dipamer anak-anak buahnya.
Jurulatih kelahiran Croatia itu membawa Kelantan ke separuh akhir menerusi agregat 8-5 selepas berpesta gol ke atas Harimau Selatan di depan ribuan penyokong sendiri di Stadium Sultan Muhammad IV.
Hodak berkata, semangat juang tinggi pemainnya untuk bangkit daripada kekalahan 4-2 pada separuh akhir pertama di Johor Bahru mendorong mereka untuk beraksi cemerlang.
"Saya gembira dengan semangat juang yang ditunjukkan oleh barisan pemain kami. Walaupun ketinggalan dengan dua jaringan selepas tumbang 2-4 dalam aksi pertama, namun mereka tidak mudah berputus asa dan berjaya menyerap tekanan.
"Kemenangan besar ini turut mencerahkan peluang Kelantan untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia," kata Hodak.
Mengulas mengenai pertemuan dengan ATM, Hodak berkata, beliau mahu menggunakan tempoh rehat dua minggu untuk merangka strategi terbaik bagi berdepan ATM.
Beliau juga berharap Shakir Shaari dan Nik Shahrul Azim Abdul Halim pulih dari kecederaan menjelang perlawanan tersebut.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131007/su_02/ATM-lebih-kuat-dari-JDT#ixzz2h30C9wHt 
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan