Rabu, 11 Disember 2013

Reuben sedia jadi 'kereta kebal'

Oleh SUFIAN HADI MOHD. SOJAK

sukan@utusan.com.my
 
K. Reuben
KUALA LUMPUR - Kemenangan bergaya Harimau Muda 3-1 ke atas kelab divisyen tiga Jepun, FC Ryukyu menyemarakkan keinginan pertahanan Harimau Muda, K. Reuben untuk menjadi jentera 'kereta kebal' Malaysia.

Tonggak pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkata, dia tidak akan mempersia-siakan kepercayaan yang diberi oleh pengendali Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee.

Misinya adalah cuba membantu Harimau Muda memenuhi misi memburu kejuaraan hatrik Sukan SEA.

Biarpun pertama kali berada di pentas sukan dwi-tahunan itu, namun Reuben tidak berasa janggal, malah mengakui semangatnya untuk mempamer aksi semakin membara.

"Latihan, perlawanan dan motivasi yang diberikan menjadikan saya sudah bersedia serta dapat membina keserasian bersama pemain lain. Sekarang kami semua ibarat satu keluarga sudah.

"Saya tidak berasa gemuruh, mungkin sebab berbekalkan pengalaman sedia ada di mana saya pernah bermain bersama Malaysia pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) Ke-27, Piala SCTV 2012 dan Pestabola Merdeka 2013.

"Walaupun pertama kali mewakili negara di Sukan SEA, pengalaman baharu ini dapat membina kemahiran serta keyakinan dalam diri saya.

"Saya akan pastikan benteng pertahanan kami kukuh dan tidak mahu dibolosi.

"Selain menjaga benteng, saya juga akan membuat banyak larian ke hadapan dengan cuba membantu jentera serangan, terutama dalam melakukan hantaran-hantaran lintang," katanya, semalam.

Aksi pemain kelahiran Kajang itu memikat hati Kim Swee apabila memainkan peranan dengan baik dalam mengekang serangan lawan ketika menentang FC Ryuku, Rabu lalu.

Kini, Reuben, 23, telah bersedia mengasah 'senjata' sekali gus mahu meneruskan rentak cemerlangnya menentang pasukan yang bakal memberi tentangan sengit kepada skuad Harimau Muda.

"Cabaran negara lain seperti Thailand, Indonesia dan Singapura, pemain mereka mempunyai kualiti dan taktikal yang sukar dibaca.

"Jadi, saya akan membuat yang terbaik dan selebihnya, terserah kepada Tuhan.

"Para pemain sekarang tengah bersemangat. Kami akan membuat yang terbaik dan mengerah 100 peratus tenaga demi maruah bola sepak negara," katanya.




RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131207/su_02/Reuben-sedia-jadi-kereta-kebal#ixzz2mkDTwNpj 

Senarai akhir 20 pemain Malaysia U23 Sukan SEA 2013

20 pemain Malaysia U23 Sukan SEA 2013

Ketua Jurulatih: Datuk Ong Kim Swee
1. Mohd Farhan Bin Abu Bakar (Penjaga Gol)
2. Mohd Izham Tarmizi Bin Roslan (Penjaga Gol)
3. Muhammad Zubir Bin Mohd Azmi (Pertahanan)
4. Reuben Thayaparan a/l Kathiripillai (Pertahanan)
5. Shahrul Bin Mohd Saad (Pertahanan)
6. Mohd Fadhil Bin Mohd Shas (Pertahanan)
7. Wan Ahmad Amirzafran Bin Wan Nadris (Pertahanan)
8. Nazirul Naim Bin Che Hashim (Pertahanan)
9. Mohd Azrif Nasrulhaq Bin Badrul Hisham (Pertahanan)
10. Kenny Pallraj a/l Devaragi (Pertahanan)
11. Mohd Irfan Bin Fazail (Tengah)
12. Nazmi Faiz Bin Mansor (Tengah)
13. Ashri ChuChu (Tengah)
14. Mohamad Nasir Bin Basharuddin (Tengah)
15.Sivanesan a/l Shanmugam (Tengah)
16. Saarvindran a/l Devandrn (Tengah)
17. Thamil Arasu a/l Ambumamee (Penyerang)
18. Md Rozaimi Bin Abd Rahman (Penyerang)
19. Ahmad Hazwan Bin Bakri (Penyerang)
20. Izzaq Faris Bin Ramlan (Penyerang)

Kim Swee vs Troussier

 Oleh ZAZALI JAMIAN

sukan@utusan.com.my
PETALING JAYA - Pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee dan bekas jurulatih Jepun, Philippe Troussier (gambar) menjadi calon utama dikaitkan untuk mengisi kekosongan Datuk K. Rajagobal sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya.

Malah Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin turut mengakui, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Troussier selain tidak menolak kemungkinan memilih calon tempatan.

Sungguhpun Hamidin tidak menyatakan secara terus siapa calon yang bakal dipilih FAM namun kenyataan tersebut menguatkan spekulasi bahawa Kim Swee dan Troussier adalah tumpuan utama badan induk itu bagi menggantikan Rajagobal yang bakal tamat kontraknya hujung bulan ini.

Hamidin berkata, pihaknya kini bersikap terbuka dalam membuat pilihan sekiranya mendapati calon yang sesuai tidak kira jurulatih tempatan atau sebaliknya mampu mengalas tugas dengan baik.

Malah Hamidin turut memberitahu, calon yang akan dipilih adalah untuk jangka masa panjang dan bukannya sekadar tangkap muat’.

Kita belum membuat keputusan lagi siapa yang akan menjadi jurulatih Harimau Malaya bagi tahun depan dan calon yang ada masih lagi dalam penilaian.

Malah kami sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan jurulatih sekiranya mendapati ia berbaloi untuk masa depan skuad kebangsaan," katanya selepas majlis bersama skuad Harimau Muda A, di sini, semalam.

Sebelum ini FAM dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat jurulatih asing selain dikhabarkan semakin hampir menandatangani Troussier untuk melatih skuad kebangsaan pada tahun depan.

Selain pernah membimbing skuad Blue Samurai, Troussier,58, juga pernah membimbing skuad kebangsaan lain seperti Nigeria, Qatar dan Maghribi.

Troussier kini melatih kelab China, Shenzhen Ruby sejak 2011, selain pernah melatih kelab terkenal Perancis, Marseille.

Kim Swee, yang membawa Malaysia mempertahankan emas Sukan SEA di Indonesia diberi tugas sebagai jurulatih sementara.

Sementara itu, Hamidin berkata, siapa yang layak membimbing Harimau Malaya hanya akan diketahui, Januari depan.

Segala keputusan berhubung jurulatih Harimau Malaya akan berjawab selepas Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selesai menilai setiap calon-calon yang bakal dilantik.Memang Troussier adalah antara calon. Yang pasti, FAM tidak terburu-buru dalam membuat pemilihan," ujarnya lagi.

RUJUKAN:http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131206/su_03/Kim-Swee-vs-Troussier#ixzz2me35NYHp © Utusan Melayu (M) Bhd

Farhan tidak selamat

Oleh FERZALFIE FAUZI -ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

SHAH ALAM - Pada ketika ramai yang menjangkakan hanya kes Nazri Ahmad bakal dibicarakan oleh Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 12 Disember ini, bintang penyerang, Mohd. Norfarhan Muhammad juga sebenarnya belum selamat.
Sebelum ini, hanya nama Nazri menjadi tumpuan gara-gara tindakan pemain pertahanan itu memilih untuk bersama juara Piala FA, Kelantan biarpun didakwa sudah menandatangani kontrak dengan Selangor.
Norfarhan, yang masih segar dengan kejayaan muncul Penyerang Terbaik Kebangsaan bagaimanapun akan turut dibicarakan dalam mesyuarat minggu depan selepas dikatakan telah bersetuju untuk mewakili Johor Darul Takzim (Johor DT ) pada musim 2014, tetapi membuat ‘pusingan U’ dengan kembali bersama negeri kelahirannya, Terengganu.
Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, mereka baharu sahaja menerima kes Norfarhan semalam, dan situasinya hampir sama dengan Nazri, di mana kedua-dua mereka boleh digantung semusim beserta denda.
“Saya rasa semua sudah jelas tentang undang-undang dan kita sentiasa maklumkan perkata itu dari awal dengan memberi taklimat kepada setiap pasukan.
“Namun, kes ini sudah menjadi satu fenomena baharu walaupun 10 hingga 15 tahun lalu ia pernah berlaku," katanya pada sidang media selepas Taklimat Liga Malaysia Musim 2014 semalam.
Jelasnya, Jawatankuasa Status Pemain akan membuat keputusan mengenai nasib kedua-dua pemain tersebut berdasarkan kontrak dan segala salinan sebagai bukti.
“Saya rasa perkara ini sangat asas tidak perlu belajar di sekolah, apabila sudah menandatangani kontrak kita perlu terus memberi komitmen kepada pasukan yang diwakili.
“Apa pun, Jawatankuasa Status Pemain dan Sekretariat FAM akan melihat semula perkara ini dan belajar bagaimana untuk menanganinya pada masa akan datang.
“Tempat paling sesuai menangani perkara ini adalah Jawatankuasa Status Pemain tetapi saya mewakili sekretariat berharap agar ia dapat diselesaikan di luar dengan kedua-dua pasukan berbincang sesama sendiri, jika tidak boleh jadi kita tunggu pada 12 Disember ini," katanya.
Ditanya adakah Liga M sudah boleh menggunakan khidmat ejen bagi setiap pemain, Hamidin berkata, perkara itu perlu dilihat semula adakah ejen boleh mainkan peranan bagi memperbaiki keadaan.
Dalam pada itu, kebanyakan pasukan Liga M meminta agar FAM melanjutkan tarikh tutup pendaftaran pemain import pada 4 Disember ini kepada 17 Disember sama seperti pendaftaran pemain tempatan.
Menurut Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Datuk Seri Afandi Hamzah, pihaknya akan berbincang dan memaklumkan dalam tempoh terdekat tentang permohonan tersebut dan pada masa yang sama juga, mereka perlu merujuk kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Harimau Muda tempang

Oleh ZAZALI JAMIAN

sukan@utusan.com.my
 Hamidin Mohd. Amin (kiri) memberi amanat terakhir kepada skuad Harimau Muda yang bakal menggalas cabaran pada Sukan SEA Myanmar dalam majlis meraikan pemain di Petaling Jaya, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
PETALING JAYA - Pertemuan dengan kelab Jepun, FC Ryukyu kelmarin mungkin membantu Malaysia menguji kekuatan menjelang Sukan SEA minggu depan, namun ia juga memaksa skuad Harimau Muda membayar harga tinggi selepas pemain sayap lincah, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menjadi bintang terbaharu yang tidak dapat dibawa oleh Datuk Ong Kim Swee ke Myanmar akibat kecederaan.

Kemenangan 3-1 ke atas Ryukyu akhirnya memberi gambaran jelas buat pengendali Harimau Muda, Kim Swee untuk membariskan 20 pemain yang bakal menggalas misi berat memburu kejuaraan hatrik Sukan SEA.

Namun, Kim Swee turut mengakui, keputusan untuk melengkapkan barisan pemain bukan satu tugas mudah kerana beliau perlu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Wan Zaharulnizam atau lebih dikenali sebagai Kecik.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Wan Zaharulnizam tidak berada dalam senarai kerana mengalami kecederaan ketika aksi persahabatan menentang FC Ryukyu. Dia memerlukan masa dua atau empat minggu untuk pulih.

“Sungguh pun pemain yang ada kurang daripada segi pengalaman berbanding skuad pada Sukan SEA dua tahun lepas, namun saya dapat lihat pasukan kali ini penuh dengan semangat juang tinggi.

“Itulah kekuatan yang kami mahukan sebelum berlepas ke Myanmar nanti," katanya dalam sidang akhbar bersama Harimau Muda A dan skuad wanita di sini, semalam.Selain Wan Zaharulnizam, skuad bawah 23 tahun negara juga akan meneruskan misi mempertahankan emas buat kali ketiga berturut-turut tanpa Nik Shahrul Azim Abdul Halim, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Syahrul Azwari Ibrahim yang mengalami kecederaan. Skuad Harimau Muda akan berlepas ke Myanmar esok.

Sementara itu, Wan Zaharulnizam mengakui, dia akur dengan keputusan yang dibuat jurulatih dan yakin rakan-rakan yang terpilih mampu melaksanakan tugas dengan baik.Saya terima keputusan ini seadanya selain perlu sedar bahawa kecederaan ini memerlukan masa yang lama untuk pulih.Tiada perasaan iri hati pada kawan-kawan yang terpilih ke Sukan SEA sebaliknya saya doakan kejayaan mereka di sana," katanya.

Kesemua 20 pemain yang disenaraikan adalah dalam kalangan terbaik daripada 30 yang dipanggil menjalani latihan sebelum ini.Kempen Malaysia untuk memburu kejuaraan hatrik Sukan SEA bermula dengan menentang Brunei dalam aksi pembukaan Kumpulan A pada 10 Disember.Mereka akan menentang Laos pada 13 Disember, diikuti Singapura (15 Disember) dan Vietnam, 17 Disember. Jika ke separuh akhir, mereka perlu beraksi pada 19 Disember, diikuti final pada 21 Disember.Turut hadir, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131206/su_01/Harimau-Muda-tempang#ixzz2mdxhHFsM © Utusan Melayu (M) Bhd

Amar sahut cabaran

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD

5 Disember 2013
 Amar Rohidan
 Amar Rohidan Amar (kiri) sahut cabaran dan bersedia buktikan dia mampu menyumbangkan sesuatu kepada pasukan Kelantan.
CABARAN besar menanti pemain tengah, Amar Rohidan bagi menagih kepercayaan penyokong setia The Red Warriors setelah diberi kepercayaan menyarung jersi pasukan tersebut pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Sedar prestasi lampaunya ketika beraksi bersama skuad kebangsaan sering dijadikan perbandingan, Amar berkata, dia memandang positif perkara tersebut dan menegaskan sudah bersedia menyahut cabaran daripada penyokong fanatik Kelantan.

“Memang ini merupakan satu peluang yang sukar ditolak apabila dapat mewakili pasukan hebat seperti Kelantan. Tetapi pada masa sama, saya anggap  perkara ini merupakan satu  cabaran besar yang perlu dihadapi dengan tenang.

“Suka atau tidak, saya kena buktikan kepada penyokong-penyokong Kelantan bahawa kehadiran saya bersama pasukan ini bukanlah sia-sia. Paling penting saya kena bekerja keras untuk mempamerkan persembahan terbaik,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Malah pemain kelahiran Kedah tetapi mencipta nama bersama Perlis pada musim 2005 itu awal-awal lagi menekankan betapa dia perlu berlatih bersungguh-sungguh untuk memikat hati jurulatih kelahiran England, Steve Darby.

Amar, yang beraksi bersama Felda United FC pada musim lalu antara 10 muka baharu yang dibawa masuk oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi menghadapi Liga-M musim depan selepas Kelantan kehilangan beberapa pemain tengah seperti Zairo Anuar Zalani, Mohd Faiz Subri dan Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid.

Sembilan lagi pemain baharu ialah Mohammed Ghaddar, Francis Forkey Doe, Mohammed Shawky, Muhammad Nazri Ahmad, Tengku Hasbulah Raja Hassan, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, Ahmad Shakir Mohd Ali, Brendan Gan dan Famirul Asyraf Sayuti.

Tambahnya, ketiadaan pemain tengah bertahan, Mohd Shakir Shaari yang mengambil keputusan berhijrah ke Johor Darul Ta’zim pada musim depan tidak bermakna tempatnya sudah terjamin dalam dalam pasukan Kelantan.


“Ramai lagi pemain lain boleh beraksi di posisi tersebut. Belum tentu ada jaminan, sebaliknya  saya perlu bersaing seperti biasa dengan pemain-pemain lain. Jika saya berusaha keras, mungkin saya menjadi pilihan jurulatih,” katanya.

Rabu, 4 Disember 2013

'Fokus saya tak pernah berubah'

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
 
KIM SWEE (kanan) berjabat tangan dengan jurulatih FC Ryukyu, Norihiro Satsukawa pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

TUMPUAN Datuk Ong Kim Swee kini terarah kepada persiapan skuad Harimau Muda A bagi menghadapi Sukan SEA 2013 di Myanmar yang akan membuka tirainya secara rasmi 11 Disember ini.

Justeru, Kim Swee tidak mempunyai sebarang perancangan terhadap skuad Harimau Malaya yang bakal kehilangan khidmat ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan melantik Kim Swee sebagai pengendali sementara Harimau Malaya.

Ini kerana FAM tidak menyambung kontrak Rajagobal yang akan tamat pada 31 Disember ini.

"Buat masa ini, saya hanya mahu berikan perhatian kepada pada Sukan SEA di Myanmar.

"Bagi saya... terlalu awal untuk memikirkan tugasan bersama Harimau Malaya untuk aksi menentang Yemen (dalam kelayakan Piala Asia 2015) pada Mac tahun depan.

"Biarlah saya memberikan fokus pada Sukan SEA di Myanmar, itulah perkara paling mustahak buat masa ini," kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada satu sidang akhbar khas di Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin, Rajagobal dilaporkan berkata, beliau berharap penggantinya mampu menjelmakan keputusan lebih baik apabila membimbing Harimau Malaya nanti.

Menurut Kim Swee, kenyataan Rajagobal itu tidak merujuk kepadanya, sebaliknya beliau menyifatkan 'pesanan' tersebut ditujukan kepada bakal jurulatih baharu Harimau Malaya yang dilantik secara tetap oleh FAM.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya hanya dilantik sebagai jurulatih sementara. Saya tidak rasa kenyataannya (Rajagobal) merujuk kepada saya.

"Kami memahami skop (tugasan) masing-masing dan kenyataan itu terlalu umum. Jadi, apa yang paling mustahak, saya perlu memberikan fokus kepada Harimau Muda A.

"Selepas berakhir Sukan SEA, barulah saya akan alihkan perhatian kepada Harimau Malaya. Itupun jika FAM masih belum menemui calon jurulatih tetap," katanya.

Sebagai rekod, skuad bimbingan Rajagobal berjaya memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos sebelum anak-anak buahnya muncul juara Piala Suzuki AFF setahun kemudian.

www.kosmo.com.my/kosmo/4.12.2013